Siakap Keli
Gambar Via Google

TikTok Dilapor Sekat “Challenge” Trending Curi Barang Sekolah, Ada Pelajar Sudah Ditahan Polis

Sejak dilancarkan pada September 2016, aplikasi media sosial, TikTok, terus berkembang dengan pesat sehingga menarik jutaan pengguna di seluruh dunia.

Dengan fungsi penyuntingan video yang tidak ada pada media sosial lain sebelum ini, ia menjadi aplikasi kegemaran setiap peringkat umur.

TikTok juga sering tular kerana pelbagai cabaran-cabaran menarik yang dicipta oleh penggunanya.

Pun begitu, ada sesetengah cabaran memberikan implikasi buruk terutama kepada golongan muda.

Terbaru, TikTok dilaporkan telah menyekat cabaran ‘devious licks’ yang tular dalam kalangan pelajar sekolah di Amerika Syarikat sejak awal bulan ini.

Difahamkan, cabaran tersebut telah ‘mempromosikan’ trend mencuri dan merosakkan harta benda sekolah.

Menurut Newsweek, cabaran tersebut telah dimulakan oleh seorang pengguna yang memuatnaik video dirinya sedang memasukkan kotak berisi pelitup muka ke dalam beg galasnya.

Selepas beberapa hari, pengguna yanh lain telah meniru idea video itu dan mencuri barang-barang lain dari sekolah mereka.

Sejak itu, cabaran tersebut terus melonjak dalam kalangan pelajar sekolah sehingga ada di antara mereka yang sanggup merosakkan tandas termasuk mencabut sinki dari dinding demi mendapat tontonan yang tinggi.

Kini, carian mengenai cabaran itu tidak lagi ditemui dan ia melegakan pihak sekolah dan ibu bapa.

Jurucakap TikTok dalam satu kenyataan mengatakan bahawa mereka mengharapkan agar komuniti media sosial itu lebih bertanggungjawab dan tidak mencipta sesuatu yang memberi kesan buruk kepada semua pihak.

“Kami tidak membenarkan kandungan yang mempromosikan atau membolehkan kegiatan jenayah dilakukan. Kami telah memadam kandungan tersebut,” katanya.

Sementara itu beberapa orang pelajar di Boone County Schools dilaporkan telah ditahan dan bakal menghadapi pertuduhan atas kesalah mencuri barang-barang di sekolah mereka.

Sumber: NewsWeek

Sofea

There's always another side to every story