Siakap Keli
Kredit: Omani Cave Exploration Team

(Video) Digelar ‘Penjara Syaitan’, Pasukan Eksplorasi Turun Ke Lubang ‘Misteri’ Telaga Barhout Dan Ini Keadaan Di Dalamnya

Sebelum ini pernah tular di media sosial, kisah penemuan sebuah telaga misteri yang terletak di tengah-tengah padang pasir yang tandus di wilayah Mahra di Yaman, kira-kira 1,300 kilometer dari ibu negara, Sanaa.

Telaga yang dinamakan sebagai Telaga Barhout itu turut digelar sebagai ‘Penjara Syaitan’. Penemuannya itu telah mencetus pelbagai persoalan oleh orang awam, khususnya dalam kalangan pengkaji-pengkaji serta ahli eksplorasi.

Selain itu, telaga ini juga digelar sebagai ‘penjara jin’. Hal ini demikian kerana terdapat segelintir yang mendakwa telaga berkedalaman antara 100 hingga 250 meter dan lebar 30 meter ini menjadi tempat jin ‘bertandang’.

BACA: (Video) Berbau Busuk & Digelar ‘Penjara Syaitan’, Kenali Telaga Barhout, Lubang Besar ‘Misteri’ Di Tengah Padang Pasir

Bagaimanapun baru-baru ini, sekumpulan pasukan eksplorasi dari Oman yang turut disertai pengarah Agensi Sumber Mineral dan Tinjauan Geologi serta penduduk tempatan (Mahra) tekad melakukan aktiviti mengeksplorasi telaga tersebut.

Memetik laporan Gulf Today, kesemua mereka berjaya turun dan mendarat di dasar telaga yang disebut sebagai Khusfit Fugit dengan menggunakan tali yang dipaku pada tanah berbatu di sekeliling permukaan telaga.

Meskipun didakwa sebagai lokasi misteri, namun eksplorasi itu membawa mereka kepada satu penemuan yang menakjubkan. Jelas Gulf Today, terdapat sebuah air terjun yang keluar dari batuan permukaan telaga kira-kira 65 meter dari atas.

Kredit gambar: Omani Cave Exploration Team

Dikatakan air terjun itu turun dalam keadaan yang berbeza dan ia sentiasa mengalir tanpa henti. Sumber air dari arah timur telaga didapati lebih aktif (mengeluarkan air). Malah beberapa spesies seperti ular, katak dan lebah juga didapati hidup di situ.

Dalam pada itu, mereka turut mengambil beberapa sampel daripada batuan dan bahan-bahan lain, salah satunya ialah tumbuhan alga yang menumbuh di dasar batuan telaga tersebut untuk dikaji.

Selain pengambilan sampel, mereka juga turut membaca kualiti oksigen di dalamnya. Hasil pengesanan mendapati kadar oksigen dalam Telaga Borhout itu dilaporkan bersih tanpa sebarang pencemaran.

Malah di dasarnya pula terdapat puluhan ‘mutiara’ berwarna kehijauan yang cantik. Kata mereka, ia adalah batuan yang terhasil daripada kalsium karbonat konsentrik yang terbentuk di permukaan tanah tempat air menitik (dari dinding gua).

Jelasnya, permukaan itu telah dilicinkan oleh pergerakan air yang jatuh menitik sejak ribuan tahun dahulu sehingga membentuk ketulan bulat seakan mutiara yang indah.

Kredit gambar: Omani Cave Exploration Team

Pemerhatian mereka juga mendapati tiada sebarang kesan tinggalan jejak kaki manusia yang ada di situ. Segala kajian, tinjauan serta pensampelan dilakukan mereka mengambil masa kira-kira enam jam lamanya.

Difahamkan, eksplorasi penyelidikan tersebut akan diteruskan bersama pihak Agensi Sumber Mineral dan Tinjauan Geologi. Hasil ujian sampel akan diumumkan setelah kajian dan dokumentasi selesai.

Kredit gambar: Omani Cave Exploration Team
Kredit gambar: Omani Cave Exploration Team

Menurut laporan itu lagi, tiada seorang individu pun yang berani masuk dan menjejakkan kaki ke dasar telaga tersebut setakat ini, dipercayai kerana bekalan oksigen dan sumber pengudaraan di dalamnya yang terhad.

Selain itu, dakwaan turut mengatakan tiada apa yang boleh dilihat dari dasar telaga tersebut melainkan hanya bayang-bayang burung yang melintas di atas dan bunyinya yang didengari.

Tidak kurang juga, orang-orang Yaman sendiri didakwa tidak berani untuk pergi ke telaga itu dek kerana kisah-kisah misteri mengenainya yang sering diceritakan dalam kalangan mereka selama ini.

Sumber: Gulf Today / The National News / Omani Cave Exploration Team

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'