Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

(Video) Mampu Tiru Wajah & Suara Dengan ‘Sempurna’, Kenali Teknologi Deepfake Yang Canggih, Tapi ‘Menakutkan’

Sejak beberapa dekad yang lalu, pelbagai teknologi telah berkembang pesat seiring dengan kemodenan dunia. Evolusi yang berlaku di seluruh dunia ini pastinya memberikan pelbagai manfaat kepada pengguna dan sedikit sebanyak mengubah struktur gaya hidup ke arah yang lebih baik.

Misalnya, teknologi berkaitan komputer atau digital kini dianggap sangat penting dalam kehidupan seharian kerana setiap orang boleh berkomunikasi dengan meluas tanpa ada sebarang jurang yang menghalang.

Ia juga bertambah baik dari tahun ke tahun sehingga boleh mencipta sesuatu  fantasi bertukar menjadi realiti. Pun begitu, kepesatan teknologi itu juga terkadang boleh menimbulkan kesan yang buruk kepada manusia.

Salah satunya adalah teknologi deepfake yang merupakan program kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan penciptaan peniruan wajah seseorang.

Menurut Business Insider, istilah deepfake berasal dari teknologi deep learning iaitu algoritma pembelajaran mendalam yang mengajar bagaimana untuk menyelesaikan masalah apabila diberikan set data yang besar. Ia seterusnya akan digunakan untuk menukar wajah seseorang dalam kandungan video dan digital untuk membuat berita atau kenyataan palsu yang kelihatan realistik.

Difahamkan, terdapat beberapa kaedah untuk membuat deepfake tetapi yang paling umum adalah bergantung kepada penggunaan rangkaian neural mendalam yang melibatkan autoencoder dan menggunakan teknik pertukaran wajah.

Autoencoder adalah program AI yang ditugaskan untuk mempelajari klip video untuk memahami bagaimana penampilan seseorang dari pelbagai sudut dan keadaan persekitaran dan kemudian memetakan orang itu kepada individu dalam video sasaran.

Cara lain untuk membuat deepfake adalah dengan menggunakan Generative Adeversarial Networks (GANs) yang boleh mengesan dan memperbaiki segala kekurangan dalam deepfake sehingga sukar untuk menyahkodnya.

Sejak wujud pada tahun 2017, teknologi itu kebanyakannya telah mencipta video berunsur pornografi.

Firma AI Deeptrace dilaporkan telah menemui 15,000 video deepfake di dalam internet pada bulan September 2019 dan 96% daripadanya adalah pornografi. Manakala, 99% wajah dalam video itu telah dipetakan atau ditukar dari selebriti wanita dan pelakon porno.

Tidak cuma itu, ahli politik di seluruh dunia juga tidak terlepas dari menjadi sasaran deepfake ini dengan kandungan yang memberikan kenyataan tidak betul kepada orang awam.

Namun, deepfake juga tidak terhad kepada video sahaja, deepfake audio kini ‘bidang’ yang berkembang pesat dan mempunyai aplikasi yang tersendiri.

Walaupun sesetengah deepfake kelihatan realistik, namun ada sesetengah darinya mempunyai kekurangan seperti mata subjek tidak pernah berkelip atau berkelip terlalu kerap dan kelihatan janggal. Audio juga terkadang tidak selari dengan suara sebenar seseorang.

Dalam pada itu, kebanyakan pakar percaya bahawa deepfake akan menjadi jauh lebih canggih pada masa akan datang dan mungkin menimbulkan ancaman yang lebih serius kepada orang ramai termasuk berkaitan dengan campur tangan pilihan raya, ketegangan politik dan kegiatan jenayah.

Sumber: Business Insider, The Guardian

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.