Baru-baru ini, tular satu video di Indonesia mengenai kisah seorang wanita yang memiliki kekasih hati yang tetap setia di sisinya walaupun dia sedang sakit.
Menerusi video yang dimuatnaik di TikTok, wanita tersebut dipercayai menghidap tumor di bahagian wajahnya sehingga membuatkan ia bengkak dan perlu menjalani pembedahan.
Dalam keadaannya itu, dia berysukur kerana mempunyai kekasih yang selalu menemaninya dan memberikan semangat kepadanya serta memberikan sokongan secara fizikal dan psikologi.
Menurut Tribun News, wanita yang dikenali sebagai Rahmi Putri Muharani, 24, yang berasal dari Padang, Sumatera Barat itu mengatakan bahawa tumor yang dihidapi di wajahnya itu sudah ada sejak lahir dan pada tahun 2018, tumor itu makin membesar hingga memberi kesan kepada wajahnya.
Penyakit itu dikenali sebagai Ameloblastoma Maxilla Dextra, yang menyebabkan sebelah wajahnya menjadi bengkak.
Menurutnya, walaupun tidak merasa sakit, dia tetap perlu menjalani pembedahan bagi membuang tumor itu.

“Tidak semua orang akan mendapat penyakit ini kerana ia merupakan keadaan yang dialami sejak lahir.
“Wajah saya akan senget dan struktur gigi tidak teratur jika saya tidak menjalani pembedahan dengan cepat,” katanya kepada Tribun News.
Mujurlah, keadaan kesihatannya kini semakin membaik. Dia meluahkan rasa syukur kerana teman lelakinya, Rizkan Arif, setia mendengar keluhannya setiap hari walaupun ketika itu mereka sibuk dengan pelajaran.
“Kami berdua adalah pelajar tahun akhir, perlu fokus untuk membuat tesis. Tetapi, dia selalu menemani saya setiap pagi dan malam. Dia benar-benar menjaga keadaan mental saya agar saya tetap stabil dan tidak tertekan menjelang pembedahan,” katanya.
Tidak cuma itu, kekasihnya juga tidak pernah malu dengan keadaan wajahnya walaupun berada di khalayak ramai.
“Ketika kami keluar, dia tidak pernah malu membawa saya ke mana-kemana saja walaupun wajah saya sudah sangat bengkak.
“Malah, jika ada orang-orang yang memandang pelik pada wajah saya, dia selalu melindungi dan menenangkan saya,” katanya.
Mereka telah bercinta sejak tahun 2017 dan sudah saling mengenali keluarga masing-masing.
Sehingga kini, videonya telah mendapat tontonan sebanyak 1.4 juta.
@rhmiipm Mau liat ga cewe yg ditemenin dari sakit sampe SEMBUH ga pernah ditinggalin🥺#JogetInfinixHot11MLBB
Sumber: Tribun News