Sedar tak sedar, sudah genap enam tahun penyanyi terkenal tanah air iaitu Stacy memilih untuk memeluk ajaran Islam.
Stacy atau nama Islamnya kini, Ummu Shaikhah Stacy Anam yang mengimbau kembali detik bermakna itu akui bahawa suami tercinta iaitu Akim Ahmad adalah merupakan antara insan yang banyak membuka hatinya untuk menerima ajaran agama Islam.
Ibu kepada dua orang cahaya mata itu menyatakan bahawa pendekatan yang dilakukan suaminya bercerita mengenai keindahan Islam cukup santai dan tidak terlalu berat.
“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.
“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.
“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik merujuk kepada Akim ambil hati kakak (Stacy). Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” kata Stacy ketika mengimbas kembali detik penghijrahan dan pernikahannya ketika menjadi tetamu program bual bicara dalam talian, Bersama Tya.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Pakai Buang itu kepada pengacara program berkenaan iaitu Tya Arifin, detik yang paling tidak boleh dilupakan dan amat bermakna buatnya adalah ibu bapanya turut hadir ketika dia memeluk Islam.
Walau bagaimanapun, menurutnya terdapat juga detik yang kurang senang terjadi apabila gambar serta video proses pengislaman Stacy disebar sehingga tular dipercayai dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.
“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.
“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.
Stacy menyatakan bahawa hatinya bagai dirudum dengan satu episod yang dahsyat sebelum dia berkeputusan untuk melafazkan dua kalimah syahadah.
“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.
“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.
“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” katanya.
Pada akhir-akhir rancangan tersebut, Stacy akui bahawa dia masih lagi dalam proses belajar untuk menjadi manusia yang baik.
“Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik,” katanya.
Bersama Tya bersiaran secara langsung setiap Isnin, Selasa dan Rabu jam 10 malam di ‘Instagram Live’ sejak 14 Jun lalu.
Ia kemudiannya turut dikongsi di pelbagai platform termasuk di ‘feed’ Instagram dan dimuat naik di saluran YouTube Tya Arifin.
Sumber:tyaarifinnw