Siakap Keli
Kredit: Twitter.com

Kewujudan Kerajaan Di Alam Melayu: Kegemilangan Pemerintahan Dan Ekonomi

Sejarah Alam Melayu

Terdahulu, tanah yang kita duduki ini tidak dibatasi dengan wilayah-wilayah tertentu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan sebagainya. Semua negeri di Asia Tenggara pada masa itu terhimpun di bawah satu “payung” yang gilang-gemilang, iaitu Nusantara atau Alam Melayu. Siapa sahaja yang tidak mengenali Alam Melayu? Sebut sahaja Alam Melayu atau Nusantara, pasti yang mendengar dapat merasakan satu energi yang positif dan menggerunkan. Bahkan sejarah itu sendiri telah membuktikan bahawa Alam Melayu merupakan antara negeri yang termasyhur dan terkuat pada masa dahulu.

Disebalik kejayaan ini, apa yang membuatkan Alam Melayu menjadi hebat sebenarnya? Tidak dinafikan, faktor pemerintahan kerajaan-kerajaan awal terdahulu telah menjadikan alam melayu begitu hebat dan berkembang pesat.  Setiap daripadanya mempunyai corak pemerintahan yang tersendiri sehingga ia meninggalkan “bekas” yang mendalam dalam sejarah kemelayuan.

Kerajaan Alam Melayu dikatakan telah bermula daripada petempatan kecil yang berkembang menjadi pelabuhan. Pelabuhan ini seterusnya berkembang menjadi kerajaan. Kerajaan ini muncul seawal abad pertama. Antara kerajaan tersebut termasuklah Funan, Champa, Srivijaya, Angkor, Majapahit dan Kedah Tua. Mari kita telusuri satu per satu kerajaan yang pernah memegang alam melayu suatu masa dahulu.

Kredit: Aku Melayu

Kerajaan Funan

Kerajaan Funan merupakan kerajaan Alam Melayu yang wujud pada awal abad pertama Masihi. Kerajaan ini diasaskan oleh seorang Brahmin bernama Kaundinya. Beliau yang beragama Hindu telah berkahwin dengan Soma, pemerintah wanita di Sungai Mekong lalu membentuk kerajaan Funan. Lokasinya tertumpu di Lembah Sungai Mekong manakala ibu kota kerajaannya terletak di Vjadhapura atau T’o-Mou yang bererti “Kota Pemburu”. Kota ini terletak berhampiran dengan bukit Ba Phnom atau kampung baharu di daerah Puei Veng Kemboja sekarang. Dalam bahasa Cina, Fu bermaksud sokong manakala Nan bermaksud selatan. Besar kemungkinan, erti sebenar daripada istilah ini ialah Menyokong Selatan (Dinasti Wu).

Jurnal Artikel UKM

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Funan

Kerajaan Funan mengamalkan sistem pemerintahan beraja yang dibantu oleh golongan agama dan golongan tentera. Raja-raja Funan menggunakan pelbagai jenis gelaran seperti Kurung Bnam yang bermaksud raja gunung, Rajadhiraja yang bermaksud raja segala raja dan Cakravatin merujuk kepada pemerintah alam sejagat. Funan dibahagikan kepada tujuh buah wilayah. Setiap wilayah ini diperintah oleh putera raja yang dikenali sebagai Raja Kecil. Bagi mengukuhkan kedudukannya, kerajaan Funan telah mengadakan hubungan dengan kerajaan luar seperti China dan India. Hubungan luar dengan China bermula pada abad ketiga apabila kerajaan Funan menghantar utusan ke China. Utusan ini bertujuan meminta bantuan China untuk melawan Dai Viet, iaitu musuh China.

Sumber Ekonomi Kerajaan Funan

Hubungan Funan dengan India bermula pada abad ketiga dengan tujuan perdagangan. Dengan hubungan ini, kerajaan Funan dapat memperkukuh hubungan perdagangan dua hala. Antara barang dagangan pada masa itu ialah seperti damar, kapur barus, kayu cendana dan gaharu. Selain itu, hubungan ini juga bertujuan mendalami ilmu keagamaan. Selain perdagangan, lokasi Funan yang terletak di lembah sungai membolehkan kerajaan tersebut mendapat manfaat yang berterusan daripada kesuburan tanahnya. Ini membolehkan mereka menjalankan kegiatan-kegiatan pertanian dengan mudah seperti menanam padi.

Kegemilangan dan Kemasyhuran Kerajaan Funan Terhadap Alam Melay

Kerajaan Funan masyhur semasa diperintah oleh Fan Shih-man. Beliau telah meluaskan empayar Funan ke Sungai Mekong hingga Teluk Camranh di sebelah timur. Kemudian, beliau menguasai selatan Myanmar dan Segenting Kra. Kejayaan beliau menguasai wilayah ini membolehkan Funan menguasai jalan perdagangan utama antara timur dengan barat. Kesannya, pada abad ketiga Funan menjadi pusat perdagangan utama di Alam Melayu. Funan telah menjadi sebuah tempat pelabuhan persinggahan yang penting bagi para pedagang yang melaluinya, bahkan dari segi geografi pun, kedudukan Funan dikatakan istimewa kerana terletak di persimpangan jalan perdagangan maritim. Pelabuhan utama kerajaan Funan ialah Pelabuhan Oc Eo. Pedagang luar yang sering berdagang di sini ialah pedagang China, India, Arab dan Parsi.

Masyarakat Funan juga telah maju dalam bidang penulisan. Tulisan mereka seakan-akan tulisan orang-orang Hu yang tinggal di bahagian tengah Asia yang menggunakan tulisan India. Mereka mempunyai buku-buku dan arkib-arkib (D.G.E Hall, 1987:37).

Kerajaan Champa

Kerajaan Champa atau Chiem Thanh dalam bahasa Vietnam dicatatkan bermula pada abad ke-2, iaitu sekitar tahun 192 Masihi. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah (1989: 34-35), nama asal kerajaan Champa ialah Lin-yi tetapi terkenal dengan nama Champa mulai pada abad ketujuh sehinggalah 1471 Masihi. Champa terletak di suatu kawasan dari Pintu Gerbang Annam sampai ke Tanjung Saint Jacquies, iaitu seluruh Vietnam Tengah serta bahagian Utara Wilayah Vietnam Selatan sekarang. Champa seringkali menghadapi serangan dan ancaman daripada kerajaan-kerajaan yang berada di sekitarnya. Contohnya pada tahun 980 Masihi, Annam (Vietnam) telah menyerang Champa. Kemudian, pada tahun 1145 Masihi, Kemboja pula menyerang Champa. Akibat serangan-serangan tersebut, kerajaan Champa telah terbahagi kepada beberapa buah kerajaan, iaitu Indrapura, Amaravati, negeri Vijaya, negeri Kathara, negeri-negeri lain yang lebih kecil dan terletak di sebelah selatan negeri Kathara, dan akhirnya negeri Pandurangga.

Jurnal Artikel UKM

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Champa

Pada awalnya, Champa wujud sebagai kerajaan yang merdeka, kemudian sebagai negeri naungan, dan akhirnya sampai permulaan abad ke-19, sebagai jajahan Vietnam (Malayisa Kita, 1991:44). Kerajaan Champa mengamalkan sistem pemerintahan beraja yang dibantu oleh para pembesar. Raja-raja Champa menggunakan gelaran Rajadhiraja dan mereka diiktiraf sebagai pemerintah yang mulia dan suci serta dikaitkan dengan Dewa Siva. Para pembesar bertanggungjawab untuk mengutip cukai, menjaga keamanan dan mengukuhkan pertahanan. Wilayah Champa pula dibahagikan kepada lima, iaitu Indrapura, Amaravanti, Vijaya, Kauthara dan Pandurangga. Di setiap kampung pula, terdapat Ketua Air di setiap kampung untuk menyelenggarakan terusan dan daik.

Sumber Ekonomi Kerajaan Champa

Kegiatan perlombongan antara sumber pendapatan yang utama bagi kerajaan Champa. Beruntungnya, kawasan yang menempatkan kerajaan Champa itu mempunyai banyak lokasi-lokasi perlombongan perak dan emas. Contohnya, perak dilombong di Indrapura dan kawasan di antara Amaravati dan Vijaya manakala emas dilombong di kawasan pergunungan Hue. Selain itu, masyarakat kerajaan Champa mahir dalam pembuatan barangan tembikar dan cuka kelapa.

Kegemilangan dan Kemashyuran Kerajaan Champa

Zaman kemasyhuran Champa bermula di bawah pemerintahan Che Bong Nga. Pada masa itu, Champa sering berhadapan dengan serangan dari Dai Viet. Che Bong Nga sebagai ketua pemerintah berjaya mengatasi ancaman Dai Viet dan meluaskan empayar Champa ke wilayah Dai Viet hingga Lembah Sungai Merah. Serangan Champa ke wilayah Dai Viet berjaya membunuh Raja Tran Due Tong, pemerintah Dai Viet. Pemerintahan beliau mendapat pengiktirafan daripada Dinasti Ming pada tahun 1369. Seni bina Kerajaan Champa yang terkenal dan termashyur adalah kompleks candi di Lembah Mi Son, Dong Duong dan Po Nagar.

Kerajaan Champa juga telah mencapai kemajuan dalam bidang bahasa dan sastera. Buktinya, terdapat sebanyak 206 buah batu bersurat yang terdiri daripada 98 dalam bahasa Melayu Cam, 43 dalam bahasa Sanskrit, 29 dwibahasa dan 36 lagi yang tidak terbaca. Batu bersurat yang tertua dijumpai di Kauthara (sekarang Nha-trang) dan bertarikh tahun 192 dalam bahasa Sanskrit. Batu bersurat tertua dalam bahasa Cam pula dijumpai di Champa pada abad keempat. (Malaysia Kita, 1991:31).

Kerajaan Kedah Tua

Kedah Tua merupakan sebuah kota pelabuhan yang terletak di Lembah Bujang, merangkumi kawasan dari lereng utara Gunung Jerai hingga ke kawasan Lembah Sungai Muda. Pusat kerajaan Kedah Tua pada awalnya ialah di Sungai Mas, iaitu pada sekitar abad ke-5 hingga abad ke-10 Masihi lalu berpindah ke Pengkalan Bujang pada abad ke-10 hingga ke-14 Masihi. Kemunculan kerajaan Kedah Tua bermula dengan penglibatan masyarakat di Guar Kepah yang menjalankan kegiatan perdagangan dengan pedagang dari luar di Sungai Mas. Kewujudan kerajaan Kedah Tua ini diperkukuhkan dengan catatan golongan agama dan pedagang dari China, India dan Arab-Parsi. Sumber China menamakan kerajaan Kedah Tua sebagai Chieh Ch’a. Manakala sumber dari India dan Arab, masing-masing merujuk kerajaan Kedah Tua sebagai Kataha dan Kalah-bar.

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Kedah Tua

Kerajaan Kedah Tua sering dibayangi dengan kerajaan besar di Alam Melayu, terutamanya kerajaan Srivijaya. Kerajaan ini mempunyai bentuk pentadbiran yang mudah, iaitu dengan adanya seorang ketua. Ketua bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal perdagangan dan keagamaan. Namun begitu, semenjak kerajaan Kedah Tua menjadi sebahagian daripada kerajaan Srivijaya (Pradatuan), sistem pemerintahannya telah berubah.

Sumber Ekonomi Kerajaan Kedah Tua

Kedah Tua merupakan sebuah kerajaan maritim, di mana pelabuhan dan perdagangan merupakan elemen-elemen penting dalam kemajuan ekonominya. Pelabuhan utama Kedah Tua ialah Sungai Mas dan berpindah ke Lembah Bujang sekitar abad ke-14 disebabkan oleh pemindahan pusat pentadbirannya ke kawasan tersebut. Pelabuhan di Lembah Bujang menjadi laluan utama pedagang dari Arab, Parsi dan India kerana tarafnya sebagai pelabuhan entrepot. Ia juga merupakan tempat persinggahan kepada para pedagang dari utara Selat Melaka sebelum meneruskan pelayaran ke timur. Kesibukan dan kemajuan pelabuhan inilah yang menjadi kegemilangan ekonominya berdasarkan aktiviti pertukaran dan penjualan barangan.

Kegemilangan dan Kemasyhuran Kerajaan Kedah Tua

Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua dikaitkan dengan kepesatan kegiatan perdagangan di Lembah Bujang dek kerana lokasinya yang strategik. Lokasi Kedah Tua yang berada di laluan hujung utara Selat Melaka membolehkan ia menjadi tempat pelabuhan persinggahan bagi pelayar-pelayar. Kapal-kapal yang berlayar dari Arab, Parsi, India dan Ceylon di Teluk Benggala akan singgah di Kedah terlebih dahulu sebelum berlayar ke Selat Melaka. Kedah Tua bukan sahaja menjadi pelabuhan transit yang menerima kemasukan barangan luar, malah ia juga merupakan pusat perdagangan entrepot yang menawarkan barangannya sendiri. Antara barangan tersebut ialah emas, bijih dan lada hitam dan hasil-hasil hutan seperti damar, rotan, tanduk, gading dan banyak lagi.

Pedagang dari timur dan barat datang untuk menjalankan kegiatan perdagangan dengan penduduk tempatan dan pedagang luar yang lain secara berterusan dan berkala bergantung kepada faktor pertukaran angin monsun. Antara pedagang yang paling dominan di Kedah Tua ialah pedagang China, Arab dan India. Seiring dengan kemajuan perdagangan ini, kerajaan Kedah Tua juga menjadi pusat keagamaan agama Buddha. Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua ini menyebabkan kerajaan Srivijaya menguasai Kedah Tua.

Kerajaan Srivijaya

Kerajaan Srivijaya pula bermula pada abad ketujuh Masihi dan terletak di Lembah Sungai Musi, Sumatera. Kerajaan Srivijaya telah wujud selepas kejatuhan kerajaan Funan ekoran serangan Chenla pada abad ke-5 Masihi. Kerajaan Srivijaya berpusat di Palembang dan diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa. Beliau telah memperkukuh kerajaan Srivijaya dengan menakluk kawasan sekitarnya seperti  Bangka dan Taruma.

Jurnal Artikel UKM

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Srivijaya

Raja Srivijaya digelar sebagai Raja di Gunung dan Maharaja di Pulau. Raja-raja Srivijaya dikatakan mempunyai unsur kesaktian dan dianggap sebagai Bodhisattva yang merujuk kepada peranan raja sebagai Buddha di bumi. Raja Srivjiaya dianggap sebagai inkarnasi daripada dewa Hindu, Amogapasha Avalokiteswara. Raja-raja Srivijaya juga dikatakan mempunyai unsur kesaktian yang memperkukuh kedudukan sebagai raja. Konsep daulat Raja Srivijaya muncul dengan pendewaan raja yang memerintah. Bagi melicinkan pentadbiran, raja telah dibantu oleh beberapa orang penting seperti Yuvaraja (Putera Mahkota), Pratiyuvaraja (Raja Muda) dan Rajakumara. Raja turut dibantu oleh golongan agama, tentera, hakim, pemungut cukai dan penjaga harta kerajaan.

Sumber Ekonomi Kerajaan Srivijaya

Kerajaan Srivijaya mempunyai sumber hasil daripada hutan dan pertanian, seperti lada hitam, pinang dan hasil galian seperti emas. Padi menjadi tanaman utama kerajaan Srivijaya yang ditanam di kawasan pedalaman Palembang, terutamanya di Tanah Tinggi Pasemah dan Hulu Musi. Dengan sumber-sumber ini, ia membolehkan laluan perdagangan dibuka dengan negara luar. Selain itu, tanah jajahan Srivijaya di Sumatera seperti Palembang turut memberikan hasil yang banyak kepada kekayaan negeri ini. Cukai kastam turut dikenakan ke atas barang-barang dagangan dengan saudagar asing yang dibawa oleh kapal-kapal dagang, terutamanya para pedagang India dan China.

Kegemilangan dan Kemasyhuran Kerajaan Srivijaya

Menurut Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya. (1983:41), Srivijaya berjaya mengekalkan keunggulan dalam ekonomi dan politik di Alam Melayu sehinga abad ke-13 Masihi. Semasa era pemerintahan Sangramadhananjaya pada abad kelapan, Srivijaya telah berjaya menakluk Sumatera, selatan Myanmar, Tanah Melayu dan Segenting Kra. Penaklukan ini juga membolehkan Srivijaya menguasai jalan laut antarabangsa, iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda yang sebelum ini dikuasi oleh kerajaan Kantoli. Ia seterusnya menjadi kuasa perdagangan utama di Alam Melayu. Selain terkenal sebagai pusat perdagangan, Srivijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha.

Keagungan dan keunggulan kerajaan Srivijaya bukan semata-mata kerana pengusaannya dalam bidang ekonomi kelautan, malah kebolehan para pemerintahnya memperluaskan kekuasaan dan jajahan politiknya ke atas negeri-negeri lain, Contohnya kerajaan Srivijaya telah menakluki Kedah Tua, Bangka dan Tulang Bawang (Abdul Rahman Haji Abdullah, 1989:44).

Srivijaya turut terkenal dengan pasukan tentera laut yang kuat. Semua kapal yang melalui wilayahnya akan dipaksa singgah di pelabuhannya untuk menyelesaikan bayaran dan cukai. Bagi menjamin monopoli perdagangan antara China dan India, Srivijaya telah meluaskan kuasa serta mengukuhkan kawalannya ke atas kawasan di sekitar Selat Melaka dan Segenting Kra, termasuklah Ligor, Chaiya dan Takuapa (Abdullah Azmi Abdul Khald, at. al. 1997:37).

Kerajaan Angkor

Kerajaan Angkor bermula pada abad kesembilan dan terletak di Lembah Sungai Mekong. Ia mempunyai kerajaan yang berpusat di Hariharalaya. Kerajaan Angkor diasaskan oleh Jayavarman II dari Chenla. Beliau telah menyatukan wilayah di Lembah Sungai Mekong. Kerajaan Angkor menerima pengaruh Hindu-Buddha. Nama Kerajaan Angkor ini wujud dari bahasa Sanskrit iaitu nagara yang bermaksud bandar. Kewujudan kerajaan Angkor telah bermula semasa zaman pemerintahan Jayavarman II setelah berakhimya kerajaan Funan dan Chenla.

Kredit: Paginas de Delphi

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Angkor

Kerajaan Angkor mengamalkan pemerintahan beraja dan menggunakan gelaran Dewaraja yang mengaitkan raja sebagai dewa dan berkuasa mutlak. Kuasa kedua dan ketiga yang penting dalam sistem pemerintahan kerajaan Angkor ialah Permaisuri dan Raja Muda. Raja-raja Angkor dibantu oleh pembesar-pembesar yang bertanggungjawab dalam bidang keagamaan, kehakiman, keselamatan dan perbendaharaan. Pada peringkat wilayah, Angkor dibahagikan kepada wilayah, daerah, daerah kecil dan kampung.

Sumber Ekonomi Kerajaan Angkor

Hujan membekalkan air ke tasik-tasik besar seperti Tonle Sap yang digunakan untuk mengairi kawasan sawah padi. Tasik Tonle Sap ialah tasik yang dibina pada abad ke-10 Masihi. Tasik ini terletak di bahagian tengah Kemboja. Ia merupakan sistem pengairan terpenting untuk kegiatan pertanian sawah padi. Air disalurkan melalui empangan dan saluran. Kawasan di sekitar tasik ini sangat subur dan sesuai untuk penanaman padi. Selain itu, pemerintah Angkor turut membina kolam yang dikenali sebagai baray untuk menyimpan air. Baray merupakan sebuah kolam air besar yang dibina untuk menampung 30 juta meter padu air dan air dari kolam ini disalurkan ke 12.5 juta ekar sawah. Pembinaan baray membolehkan kerajaan Angkor memperoleh hasil pertanian yang banyak. Penanaman padi menuaikan hasil setiap tiga hingga empat kali setahun.

Kegemilangan dan Kemasyhuran Kerajaan Angkor

Suryavarman II meluaskan empayar Angkor ke sekitar Lembah Sungai Mekong hingga selatan Myanmar. Beliau berjaya menghalang ancaman daripada Champa dan Dai Viet, di samping mewujudkan jalinan perdagangan antara pedagang tempatan dengan pedagang luar. Usaha beliau ini diteruskan pula oleh Jayavarman VII yang telah meluaskan empayar Angkor hingga sempadan Annam. Beliau membina Angkor Thom dan mendirikan 102 buah hospital.

Kredit: The Suburban

Kerajaan Majapahit

Kerajaan Majapahit bermula pada abad ke-13, iaitu sekitar 1293 Masihi dan terletak di Lembah Sungai Brantas, Jawa Timur. Pusat Kerajaan Majapahit ialah di Kota Trowulan. Kerajaan ini diasaskan oleh Raden Vijaya dengan bantuan tentera Mongol dalam perebutan kuasa di Jawa pada tahun 1294. Kerajaan Majapahit merupakan kerajaan Hindu terbesar yang menyatukan seluruh nusantara.

Jurnal Artikel UKM

Sistem Pemerintahan dan Wilayah Kerajaan Majapahit

Kerajaan Majapahit menjalankan sistem pemerintahan beraja dengan berbagai gelaran, misalnya Maharaja, Sri Maharaja dan Sri Bathara. Raja dibantu oleh Sapta Prabu dan para pembesar. Sapta Prabu merupakan gelaran bagi Majlis Penasihat Diraja yang terdiri daripada kerabat-kerabat diraja Majapahit. Majapahit pada ketika itu mempunyai 14 wilayah. Setiap wilayah ini dipecahkan kepada Kabupaten, Kawadanan, Pakuwuan dan Kebuyutan, iaitu daerah, daerah kecil dan kampung.

Sumber Ekonomi Kerajaan Majapahit

Lokasi Kerajaan Majapahit yang terletak di Jawa Timur membolehkan kegiatan pertanian dilakukan. Hal ini disebabkan kawasan tanah subur yang sesuai di samping terdapat Sungai Bengawan Solo dan Sungai Brantas yang membekalkan air untuk pengairan sawah padi. Bagi mendapatkan hasil yang maksimum, pemerintah Majapahit telah membina beberapa sistem pengairan untuk meningkatkan pengeluaran padi.

Kegemilangan dan Sumbangan Kerajaan Majapahit

Kemasyhuran Majapahit bermula dengan perlantikan Patih Gajah Mada sebagai Perdana Menteri (Majapahit) oleh pemerintah Tribuana Tunggadewi. Patih Gajah Mada berjaya mengembalikan keamanan dan keselamatan kerajaan Majapahit. Beliau juga mula meluaskan tanah jajahannya ke timur Pulau Jawa; pesisir pantai timur Sumatera; pesisir selatan dan barat Pulau Borneo; bahagian selatan dan timur Sulawesi; dan Kepulauan Maluku. Hal ini menjadikan Majapahit sebagai pusat perdagangan yang maju pada abad ke-14.

Kredit: Google

Rujukan:

(1) Buku Teks Sejarah Tingkatan 2 pdf, http://ipim.jmm.gov.my/sites/default/files/file1p1m/Buku%20Teks%20Sejarah%20Tingkatan%202.pdf

(2) Isu-isu Dalam Sejarah Awal Asia Tenggara, 2020, https://www.coursehero.com/file/81336521/TAJUK-4-KERAJAAN-ANGKORpdf/

(3) Pengenalan Kepada Peradaban Melayu, http://studentsrepo.um.edu.my/491/2/BAB1.pdf

(4) The history of Funan, Chenla, and Lin-yi, 2018, http://www.suzukitk.com/

(5) Kerajaan Kedah Tua dan Beruas, 2017, https://www.slideshare.net/jonas97777/kerajaan-kedah-tua-dan-beruas

(6) Penyebaran Orang Rumpun Melayu Pra-Islam dan Perkembangan Tulisan Bahasa Melayu, 2003, http://journalarticle.ukm.my/1225/1/Penyebaran_Orang_Rumpun_Melayu_Pra-Islam.pdf

(7) Sejarah Ringkas Kerajaan Srivijaya, Funan, Champa, Kesultanan Melayu Melaka dan Kesultanan Johor-Riau, http://bukuteks.dbp.gov.my/media/media/6Eh21JfqRF.pdf

 

Hanis Lyana