Siakap Keli

Pemakluman Pengoperasian Institusi Pendidikan Bawah Kementerian Pendidikan Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk kepada  pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia pada 22 September 2021  berkaitan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri  Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa pada 24 September  2021. 

KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa  seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut  ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua (2) minggu  daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut. 

Sehubungan dengan itu, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM  bagi negeri Johor akan bermula pada 10 Oktober 2021 berdasarkan  ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN. 

Pembukaan institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Pahang pula  kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian  institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 PPN. Memandangkan negeri  Pahang akan beralih ke Fasa 3 pada 24 September 2021, maka  pengoperasian institusi pendidikan di negeri Pahang akan beroperasi  berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN bermula pada  11 Oktober 2021.  

Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM  kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian  institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN. Memandangkan Negeri  Sembilan akan beralih ke Fasa 4 pada 24 September 2021, maka  pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan  Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 18 Oktober 2021.  

Majlis Keselamatan Negara telah memberi kelulusan untuk murid kelas  Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa  (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa  penggiliran. Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di negeri  Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid  tersebut. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di  rumah. 

Susulan pengumuman Pulau Langkawi sebagai kawasan gelembung  pelancongan pada 16 September 2021, pengoperasian institusi  pendidikan bermula pada 3 Oktober 2021 adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN. 

Bagi institusi pendidikan bawah KPM di negeri lain yang tidak terlibat  dengan peralihan fasa pada 24 September 2021, pengoperasian  institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada  seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 12 September 2021.  

Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan media ini merujuk  kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut  pendidikan guru. Ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta  yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.  

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua  institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi  pendidikan bawah kerajaan negeri. 

KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.

Siti Fatimah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.