Siakap Keli

(Video) Saja Nak ‘Test Power’, Khabib ‘Lenguh Tangan’ Lepas Ditumbuk Si Kerdil Hasbulla

Siapa yang tak kenal dengan jaguh tinju dari Russia, Khabib Nurmagomedov? Sejarah membuktikan keampuhan fizikalnya semasa beraksi di gelanggang selama ini, hampir semua pertarungannya berakhir dengan kemenangan.

Selain itu, mungkin ramai juga yang perasan dengan seorang lelaki bertubuh kecil yang sentiasa bersama Khabib, iaitu Hasbulla Magomedov. Dia sebenarnya bukanlah kanak-kanak, sebaliknya usianya kini sudah 18 tahun.

Pada asalnya Hasbulla merupakan seorang blogger dan orang ‘terkenal’ di TikTok yang berasal dari Makhachkala, Russia. Imejnya yang bertubuh kerdil dan sentiasa berkopiah itu sering menjadi perhatian segenap netizen.

Tahukah anda, Hasbulla juga digelar sebagai ‘Mini Khabib‘. Nama gelaran itu tercipta setelah beberapa video mengenai dirinya yang ‘bertempur’ dengan peninju kanak-kanak tular di media sosial.

Berbalik kepada Khabib, Hasbulla boleh dikatakan sebagai salah seorang rakan baik peninju tersebut. Kerap juga mereka dilihat beraksi bersama dalam video ataupun gambar yang dikongsikan.

Terbaharu, tular pula video memaparkan aksi Khabib yang menadah tapak tangan kanannya untuk ditumbuk oleh Hasbulla ketika mereka berada di gelanggang latihan.

Berdasarkan video yang dimuat naik di Twitter Hasbulla itu, Khabib mungkin berbuat demikian hanya sahaja-sahaja untuk bergurau. Bagaimanapun Hasbulla tidak menunggu lama untuk menyahut cabaran itu.

Akhirnya dengan penuh yakin, Hasbulla melepaskan satu tumbukan padu pada tapak tangan kanan Khabib dan berlalu pergi dengan riak muka yang bersahaja. Malah sedikit pun tidak berasa sakit.

Namun berbeza dengan Khabib, terukir riak sakit di wajahnya setelah tapak tangannya ditumbuk oleh Hasbulla. Tidak hanya itu, Khabib juga dilihat mengibas tangannya dipercayai kerana berasa lenguh.

Video yang dimuat naik itu telah ditonton lebih 556,000 kali setakat ini. Rata-rata netizen macam tidak percaya bahawa orang ‘sekuat’ Khabib pun boleh ‘tewas’ dengan manusia kerdil seperti Hasbulla.

Malah ada yang berseloroh di ruangan komentar, kata mereka hanya Hasbulla sahaja yang mampu tumbangkan Khabib. Jelas gurauan netizen tersebut, itu pun Hasbulla belum lagi mengeluarkan kekuatan sebenarnya.

Sumber: Twitter Hasbulla / Sportskeeda

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'