Seorang lelaki di Indiana ditahan atas alasan menelefon talian kecemasan berulang kali dan mengadu dirinya ‘penat’, lapor Newsweek.com.
Menurut portal itu, lelaki berusia 61 tahun berkenaan dipercayai telah menelefon talian 911 sebanyak empat kali pada Khamis.
“Pemanggil asyik menelefon, mengadu dirinya penat,” tulis portal itu memetik kenyataan pihak polis berkenaan penahanan lelaki tersebut.
Penahanan itu dilakukan sehari selepas dia mengaku bersalah atas dakwaan salah guna sistem 911, tambah Newsweek.com.
Tambah portal itu, lelaki tersebut telah membuat panggilan kepada talian kecemasan dan meluahkan kemarahan selepas saudara perempuannya ‘tidak mengikuti arahannya’.
Lantaran itu, hakim dilapor telah memutuskan untuk menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas lelaki tersebut, namun menawarkan untuk menangguhkan hukuman dengan syarat defenden tidak membuat panggilan kepada 911 lagi melainkan jika melibatkan hal kecemasan.
Pun begitu, lelaki berkenaan telah melanggar perjanjian pada hari berikutnya, sekaligus membuatkan dirinya berhadapan hukuman penjara 60 hari, lapor Newsweek.com.
Sumber: Newsweek.com