Siakap Keli

Taman Tema Seluruh Negara Dijangka Dibuka Semula November Ini

IPOH, 26 Sept (Bernama) — Taman tema di seluruh negara dijangka dibuka semula kepada orang ramai selewat-lewatnya November ini, iaitu selepas kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata kebenaran pembukaan semula taman tema itu tertakluk pada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, yang kini sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembukaan taman tema.

“Pada pendapat saya taman tema ini adalah persekitaran yang dapat dikawal dengan pematuhan SOP yang ketat, berbanding dengan persekitaran di pantai.

“Di samping itu, pemain industri pelancongan ketika ini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Taman Tema Lost World of Tambun sempena lawatan kerja sehari di sini hari ini.

Khamis lepas, Menteri MOTAC Datuk Seri Nancy Shukri berkata keputusan mengenai pembukaan semula taman tema keluarga bakal diumumkan tidak lama lagi.

— BERNAMA

" "