Taliban dilapor melarang pemilik salun atau kedai gunting rambut di wilayah Helmand untuk mencukur atau memotong janggut. Menurut BBC., memetik jawatankuasa agama Taliban, tindakan tersebut dianggap melanggar undang-undang Islam dan boleh dihukum.
Hal tersebut turut diakui oleh beberapa tukang gunting rambut di sekitar Kabul yang menerima arahan serupa, tambah portal itu.
Dalam satu notis dikeluarkan di selatan wilayah Helmand, pegawai Taliban dipercayai memberi amaran kepada penata rambut untuk mengikut undang-undang syariah bagi pemotongan rambut dan janggut.
“Para pejuang Taliban sering datang dan meminta kami berhenti memotong janggut,” kata salah seorang tukang gunting di Kabul.
“Salah seorang daripada mereka memberitahu saya, mereka boleh menghantar polis yang menyamar untuk menangkap kami.”
Sementara itu, seorang pemilik salun besar di bandar terbabit mendakwa menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai pegawai kerajaan untuk berhenti ‘mengikut gaya Amerika’ serta dilarang mencukur atau memotong janggut sesiapa, tulis BBC.
Tambah portal itu, ketika memegang kuasa antara 1996 sehingga 2001, kumpulan itu telah melarang penggayaan rambut dan mendesak lelaki membela janggut.
Namun selepas tempoh itu, ramai lelaki Afghanistan dikatakan mula ke salun untuk mencukur dan membuat potongan bergaya.
Sumber: BBC