Siakap Keli

Biasiswa Khazanah Sokong Aspirasi Pelajar Berbakat Yang Bakal Mencetus Perubahan

Kuala Lumpur, 28 September 2021 – Kadangkala, apabila seseorang meletakkan kepercayaan kepada diri kita, ia dapat mengubah perjalanan hidup kita selamanya. Bagi 104 warga anak muda Malaysia, proses perubahan ini telah bermula apabila mereka dianugerahi Biasiswa Khazanah pada tahun ini. Di samping itu, 54 penerima biasiswa sedia ada juga diiktiraf di majlis anugerah tahun ini setelah mencatatkan prestasi cemerlang. Bertemakan, ‘Memperkasa modal insan hari ini sebagai pencetus perubahan masa depan’, Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 meraikan para penerima biasiswa yang layak dan juga ahli keluarga yang amat berbangga dengan pencapaian mereka. Walaupun masih berdepan cabaran pandemik,  acara ini diadakan secara maya buat pertama kali dalam usaha menjamin kesinambungan pendidikan anak anak Malaysia.

Tema tahun ini mencerminkan warisan 15 tahun Yayasan Khazanah mengiktiraf kecemerlangan pendidikan dan memupuk pembangunan pelajar dengan menggalakkan mereka untuk berbakti kepada masyarakat. Daripada 104 penerima biasiswa baharu, 37 menerima Program Biasiswa Global Khazanah, 62 menerima Program Biasiswa Watan Khazanah, dan lima dipilih menyertai Program Biasiswa Lestari Khazanah yang diadakan buat julung kalinya.

“Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah biasiswa Khazanah tahun ini. Kami percaya anda, sebagai para penerima Biasiswa Khazanah, berpotensi membawa impak positif berganda terhadap kehidupan insan lain. Seorang calon Biasiswa Khazanah sentiasa memberikan yang terbaik dan berusaha membawa manfaat. Beliau bersedia untuk menyumbang dan melakukan sesuatu yang bermakna, demi keluarga, masyarakat dan negara secara umumnya,” kata Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam ucapannya di Hari Anugerah Yayasan Khazanah 2021 yang diadakan secara maya.

Penerima Biasiswa Khazanah 2021

Bagi kebanyakkan pelajar Malaysia, biasiswa merupakan antara jalan keluar dari belenggu kemiskinan, terutamanya dalam kalangan B40. Penerima Biasiswa Khazanah Watan, Izzati Kausar, berkata, “Saya dibesarkan oleh ibu yang menyara hidup keluarga kami dengan wang pencen semata-mata. Menyedari keadaan hidup kami, saya berusaha meningkatkan status sosioekonomi keluarga. Apabila saya mendapati Yayasan Khazanah memberi peluang mengikuti kursus lepasan ijazah, berbekalkan azam dan semangat yang kental, saya membuat keputusan untuk mencuba nasib dengan harapan ia akan dapat meringankan beban kewangan yang saya hadapi.”

Izzati akan mengikuti kursus Sarjana Mikrobiologi Perubatan di Universiti Malaya, sejajar dengan minatnya dalam kerja makmal dan aktiviti penyelidikan. Beliau menambah bahawa pandemik COVID-19 yang melanda pada tahun akhir pengajian menjadikannya semakin berminat terhadap virologi.

“Seperti semua penerima biasiswa lain, saya telah membaca emel tahniah berulang kali, dan saya seperti tidak percaya dan berasa amat bertuah untuk menerima anugerah berprestij ini. Sememangnya kejutan ini sungguh luar biasa dan sesuatu yang amat membanggakan,” kata seorang lagi penerima Biasiswa Global Khazanah, Shveenita Alyza Kanapathy. Berkongsi rahsia kejayaannya sebagai inspirasi kepada rakyat Malaysia lain, Shveenita menambah, “Sesuatu yang sentiasa membantu saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat saya ialah konsep ‘bermula dengan membayangkan matlamat akhir’. Saya benar-benar yakin bahawa anda perlu sentiasa mengingatkan diri anda tentang matlamat akhir anda, kehidupan yang ingin anda bina, sumbangan yang ingin anda berikan dan impak yang ingin anda lihat.” Beliau akan mengikuti pengajian Cambridge A-Levels di Kolej Yayasan UEM.

Penerima Biasiswa Watan Khazanah, Siti Raudhah binti Rafiee, bercita-cita untuk mengikuti program perakaunan di Universiti Teknologi Malaysia selepas mendapat inspirasi daripada tutornya. Menghadapi dunia akademik dalam normal baharu, pelajar yang berasal dari Johor ini berkongsi kata-kata hikmat untuk pelajar seangkatannya, “Pandemik ini telah menjadikan kita generasi yang mudah menyesuaikan diri. Tiada siapa yang boleh memperkecilkan pencapaian kita dalam apa jua keadaan kerana kita terus berdiri teguh dan berusaha mencapai kejayaan. Saya sedar bahawa perubahan baharu ini menimbulkan cabaran besar bagi semua orang, tetapi kepada semua rakan seangkatan, harus diingati bahawa medan pertempuran paling sukar melahirkan perwira yang paling gagah.”

Penerima sulung Biasiswa Lestari Khazanah, Dawn Scholastica Adrian, berkata, “Biasiswa ini bukan sahaja membantu dari segi kewangan untuk mengikuti pengajian Sarjana, tetap ia turut bermakna buat saya bahawa ada sekumpulan insan yang yakin terhadap manfaat yang boleh saya berikan kepada Malaysia satu hari nanti. Di lima peringkat penilaian, saya berpeluang berkongsi dengan para penemu duga tentang impian saya mewujudkan peluang pendidikan saksama di Sarawak dan di seluruh Malaysia. Saya telah diberikan peluang berkongsi hasrat dan cita-cita saya kepada insan yang sedia melabur dalam diri saya dan masa depan saya. Saya percaya sokongan daripada Yayasan Khazanah membolehkan saya menghampiri cita-cita saya.”

Dawn akan mengikuti Pengajian Sarjana Pembangunan Pendidikan Antarabangsa di University of Pennsylvania, AS, dengan tumpuan kepada pendidikan di Sarawak. Cita-cita terbesar beliau ialah untuk menjadi Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi di Sarawak, dengan harapan untuk membangunkan bidang pendidikan demi memastikan pelajar terpinggir dapat bersaing dalam dunia akademik global.

Mengiktiraf Kecemerlangan

Di samping itu, pada anugerah tahun ini, Yayasan Khazanah telah mengiktiraf 54 penerima biasiswa sedia ada berikutan mencatatkan keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga program biasiswa, dan satu sebutan khas.

Antara 54 pelajar yang diiktiraf ialah Penerima Biasiswa Global Yayasan Khazanah, Tan Gary, yang merupakan generasi pertama dalam keluarga untuk melanjutkan pelajaran ke universiti. “Kejayaan menerima biasiswa Yayasan Khazanah amat bermakna bagi diri saya, dan telah benar-benar mengubah kehidupan saya. Biasiswa ini telah membolehkan saya menikmati pengalaman pendidikan yang luar biasa di sebuah pusat pengajian antarabangsa (Marlborough College Malaysia) dan di sebuah institusi terkemuka dunia (Imperial College London, UK),” ujar Tan. Berterus terang tentang perspektif masa depannya, Tan menambah, “Saya amat teruja untuk membuka lembaran baru dalam hidup walaupun menghadapi pelbagai ketidakpastian. Setiap individu akan mempunyai pengalaman unik sendiri, namun kitaran hidup sentiasa berterusan, dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang bakal menanti bagi saya pada masa depan.”

Biasiswa Khazanah ditubuhkan untuk membolehkan belia Malaysia melanjutkan pengajian ke menara gading dan memanfaatkan peluang menambah ilmu secara berterusan menerusi tiga program biasiswanya, iaitu Program Biasiswa Watan Khazanah, Program Biasiswa Global Khazanah dan Program Biasiswa Lestari Khazanah.

“Kami amat berbesar hati untuk melihat kemajuan yang dicapai dan dicatatkan oleh para penerima biasiswa kami. Saya pasti pelbagai cabaran telah diharungi sepanjang perjalanan anda. Walau apa pun, anda telah berusaha dengan gigih dan kami meraikan kejayaan anda,” rumus Pengerusi Yayasan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Sejak diasaskan pada 2006, Biasiswa Khazanah telah memperkasakan sejumlah 1,129 penerima biasiswa untuk mengikuti pengajian dan menyemarakkan minat mereka untuk menjadi pencetus perubahan demi manfaat masyarakat dan negara.

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web Yayasan Khazanah: www.yayasankhazanah.com.my.

Nur Farra