Siakap Keli
Kredit: Google

Nombor Telefon Dalam ‘Squid Game’ Dilapor Ada Pemilik Sebenar, Dakwa Terima 4,000 Panggilan

Seorang individu mendakwa telah menerima lebih kurang 4,000 panggilan setelah nombor telefonnya didedahkan dalam siri terkenal Netflix, Squid Game sejak ia ditayangkan pada 17 September lalu, lapor Today Online.

Menurut portal itu, individu berkenaan yang menggunakan nombor tersebut selama lebih 10 tahun mendakwa telah menerima panggilan berterusan sehingga mengganggu kehidupan hariannya.

“Saya telah padam lebih 4,000 nombor daripada telefon. Sehinggakan ada orang yang hubungi siang dan malam kerana rasa ingin tahu.

“Ia menghabiskan bateri telefon saya sehingga ia mati. Pada mulanya saya tak tahu kenapa, kemudian kawan saya beritahu nombor saya muncul dalam Squid Game,” ujar individu berkenaan seperti dipetik Today Online.

Tambah portal itu, biarpun hanya terdapat lapan digit dalam nombor telefon yang dipaparkan dalam siri itu berbanding kebiasaannya 10 atau 11 digit, pengguna masih dapat menghubungi nombor berkenaan. Hal ini kerana kru produksi dikatakan hanya membuang tiga digit pertama yang mewakili kod kawasan dan membiarkan lapan nombor selebihnya, membuatkan orang ramai masih dapat menelefon nombor itu.

Lantaran itu, Netflix dilaporkan akan menyelesaikan perkara terbabit dengan pemilik berkenaan dan mungkin berhadapan denda berjumlah 50 juta won (kira-kira RM177,550).

Dalam siri berkenaan, Gong Yoo muncul sebagai lelaki misteri yang merekrut golongan bermasalah kewangan untuk menyertai permainan yang menjanjikan hadiah lumayan bernilai 45.6 bilion won (sekitar RM161.9 juta). Mereka yang berminat perlu menghubungi nombor yang tertera pada kad bisnes lelaki berkenaan.

Sumber: Today Online

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.