Siakap Keli
Kredit: Google

Pemandu Syarikat Penghantaran Rentung Lori Terbakar Selepas Terbabas

JOHOR BAHRU, 28 Sept (Bernama) — Pemandu sebuah syarikat penghantaran maut selepas lori yang dipandunya terbabas, dipercayai cuba mengelak kon yang berada di tepi jalan lalu terbakar di Jalan Tasik Utara, Larkin, di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Larkin Timbalan Penguasa Bomba 1 Mohd Suhaimi Abdul Jamal berkata mangsa dikenali sebagai Muhammad Mustaqim Ismandi berusia 23 tahun.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.46 pagi tadi sebelum menggerakkan 13 anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama dua lagi van syarikat penghantaran terbabit dalam perjalanan untuk menghantar barangan kepada pelanggan.

“Namun, lori dipandu mangsa terbabas ketika cuba mengelak kon yang berada di tepi jalan dan melanggar pokok di bahagian tengah jalan lalu terbakar.

“Orang awam cuba membantu mangsa, tetapi api marak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Suhaimi berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit lalu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beliau pada masa sama menjelaskan dua lagi van syarikat penghantaran terbabit selamat dan tidak terlibat dalam kemalangan itu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.