Siakap Keli
Gambar: Bernama

PGA7 Rampas Lebih 6,000KG Beras Siam, Tahan Sembilan Individu

TUMPAT, 28 Sept (Bernama) — Operasi Khas bagi melumpuh kegiatan penyeludupan beras di sempadan Malaysia-Thailand mendapati setiap runner mengambil upah antara RM20 hingga RM30 bagi setiap penghantaran beras ke satu-satu lokasi.

Difahamkan, kesemua beras itu dibawa menggunakan pelbagai jenis kenderaan dalam skala kecil selepas berjaya melepasi sempadan.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata taktik itu dikesan hasil intipan selama seminggu di sempadan dan mendapati beras diangkut dari sempadan ke lokasi tertentu termasuk Pasar Besar Wakaf Bharu di sini.

Menurut beliau bertindak atas maklumat penyeludupan beras, PGA7 melancarkan Operasi Khas di pasar terbabit dan telah menahan sembilan individu serta merampas 6,345 kilogram beras Siam yang dianggarkan bernilai RM25,380.

“Operasi Khas ini dilancarkan selepas membuat risikan maklumat dan pemerhatian bagi tempoh masa lebih kurang seminggu berkaitan aktiviti penyeludupan beras.

Seramai empat pegawai kanan dan 25 anggota terlibat dalam pelaksanaan Operasi Khas yang dilaksanakan di kawasan sekitar Pasar Besar Wakaf Bahru di sini, bermula pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi semalam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azhari berkata kesemua individu yang ditahan merupakan empat lelaki dan lima wanita berusia antara 43 dan 69 tahun yang juga peniaga yang menjalankan perniagaan runcit di sekitar pasar berkenaan.

“Kesemua barang kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat, Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara, Kota Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

Hasil daripada risikan maklumat dan pemerhatian yang dibuat, kesemua bekalan beras dihantar oleh runner ataupun orang yang diupah untuk mengangkut beras seludup daripada sempadan Malaysia-Thailand ke peniaga-peniaga tersebut.

“Kenderaan yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan beras ini terdiri daripada kereta dan motosikal serta bekalan beras dihantar dalam skala kecil-kecilan ke lokasi yang dituju bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Azhari berkata operasi khas seperti ini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan beras di sempadan Malaysia-Thailand.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'