Siakap Keli
Kredit: Bernama

Polis Melaka Tumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah ‘Geng Misai’

MELAKA, 28 Sept (Bernama) — Sindiket pengedaran dadah Geng Misai yang didalangi bapa, ahli keluarga dan kenalan rapat sejak sebulan lepas berjaya ditumpaskan dengan penangkapan enam ahli geng terbabit dalam beberapa serbuan di Melaka Tengah dan Alor Gajah hujung minggu lepas.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata geng berkenaan diketuai lelaki berumur 64 tahun yang digelar ‘misai’ dan bekerja sebagai mekanik serta berperanan menjadi tokan sindiket dadah berkenaan.

Beliau berkata dua anak lelaki dan seorang menantu perempuan lelaki itu serta dua kenalan rapat mereka berumur antara 21 hingga 64 tahun turut ditahan dalam beberapa serbuan di Pangsapuri Hilir Kota di Bandar Hilir di sini dan Kampung Hilir, Kuala Sungai Baru di Alor Gajah bermula 7.30 malam pada Sabtu hingga 2 pagi Ahad lepas.

“Tangkapan pertama melibatkan empat individu termasuk anak lelaki dan menantu perempuannya di Pangsapuri Hilir Kota sebelum tangkapan seterusnya melibatkan tokan berkenaan dan seorang lagi anak lelakinya di rumahnya di Kampung Hilir Sungai Baru.

“Hasil tangkapan berkenaan, polis berjaya merampas dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 7.5 kilogram bernilai RM223,100 di rumah tokan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka SAC Mohd Sukri Kaman dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka Supt Zulkiflee Rashid.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata pemeriksaan yang dilakukan di rumah tokan berkenaan menemukan dadah berkenaan yang ditanam di dalam tanah di kawasan rumahnya bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata dadah berkenaan dibekalkan kepada anak, menantu dan kenalan rapatnya untuk diedarkan di sekitar Melaka khususnya di Kuala Sungai Baru.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucutan Harta) 1988 juga diambil dengan nilai sitaan sebanyak RM15,000 melibatkan rampasan sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM3,000 dipercayai hasil jualan dadah terlibat,” katanya.

Beliau berkata empat lelaki berkenaan termasuk tokan terlibat positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.

Katanya, kesemua mereka ditahan direman selama tujuh hari bermula Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata seorang pekerja kilang berumur 25 tahun ditahan kerana terlibat dalam lima kes jenayah pecah masuk dan samun stesen minyak, FamilyMart dan kedai perkakasan di daerah Melaka Tengah dalam tempoh 17 Julai hingga 19 Sept lepas.

Beliau berkata suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah itu ditahan di tempat kerjanya di kawasan sebuah kilang di Bukit Rambai pada 21 Sept lepas kira-kira 5 petang.

“Modus operandi suspek ialah memecah masuk premis selepas ia ditutup dan suspek turut menutup bahagian mukanya dengan kain dan menggunakan parang serta menggunakan kereta jenis Kia Forte, memakai vest dan tali pinggang yang mempunyai logo polis.

“Dengan tertangkapnya suspek tersebut, polis percaya tujuh kes pecah premis berkenaan berjaya diselesaikan yang melibatkan kerugian bernilai RM30,000,” katanya.

Beliau berkata suspek direman hingga 30 Sept dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 kanun sama.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.