GEORGE TOWN, 28 Sept (Bernama) — Pelajar berusia 12 hingga 15 tahun mula menerima vaksinasi COVID-19 di bawah program Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat negeri Pulau Pinang hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata usaha itu menyusul selepas kerja-kerja vaksinasi remaja berusia 16 dan 17 tahun dimulakan 23 Sept lepas.
“Berkongsi data daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 28 September 2021, jumlah keseluruhan remaja berusia 16 hingga 17 tahun (pelajar dan bukan pelajar) di negeri ini adalah seramai 43,000 orang, manakala 93,000 lagi merupakan pelajar berusia 12 hingga 15 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya sehingga 27 Sept 32,420 remaja telah menerima dos pertama dan 714 lagi telah menerima dos kedua dari lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Pulau Pinang iaitu di Tapak Pesta, Dewan Universiti Sains Malaysia (USM), Kompleks Sukan Balik Pulau, Seberang Perai Arena dan Dewan Serbaguna Jawi.
Soon turut menyeru remaja yang berusia 12 sehingga 17 tahun supaya mendaftarkan diri dalam aplikasi MySejahtera supaya tidak tercicir daripada mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Kerajaan Negeri atas usaha bersama-sama JKNPP bakal menambah jumlah serta kapasiti PPV sedia ada bagi mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Hotel Mei yang terletak di Lorong Abu Siti, di sini bakal beroperasi sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) untuk pesakit COVID-19 Kategori 1 dan 2 dengan menawarkan penempatan sementara secara percuma kepada penduduk negeri Pulau Pinang bermula 1 Okt ini.
Chow berkata kemudahan itu disediakan kepada penduduk negeri yang tergolong dalam kalangan B40 yang memenuhi kriteria ditetapkan.
Ia merupakan usaha sama antara kerajaan negeri bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO), Crisis Relief Services and Training Berhad (CREST) yang menawarkan pembiayaan kira-kira RM1.7 juta untuk pengoperasian PKRCS di sini bagi tempoh tiga bulan.
“PKRCS Hotel Mei menyediakan 70 bilik untuk pesakit COVID-19 yang berusia dua tahun hingga 60 tahun yang menjalani kuarantin diri. Pada satu-satu masa, segala fasiliti PKRCS di hotel berkaitan mampu menampung kapasiti maksimum pesakit COVID-19 seramai 147 orang. Semua pesakit ke PKRCS berkaitan adalah ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) dan tiada polisi jumpa terus dibenarkan,” katanya.
Sumber: BERNAMA