Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri memaklumkan bahawa Lembah Klang dan Melaka akan beralih daripada Fasa 2 ke Fasa 3 berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada petang ini, beliau mengatakan bahawa peralihan fasa ini dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan,” katanya.
Selain Lembah Klang dan Melaka, Kedah turut akan beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2, juga berkuat kuasa pada 1 Oktober.
Dengan peralihan yang terbaru ini, tiada lagi negeri yang tersenarai dalam Fasa 1.
Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki fasa 2, 3 dan 4 adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang www.mkn.gov.my.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga turut meluahkan rasa syukur kerana Malaysia terus merekodkan trend menurun bagi kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19.
“Semalam, R-naught bagi seluruh negara mencatatkan nilai 0.88 dan kemasukan pesakit COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan trend penurunan,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan yakin unjuran harian kes baharu jangkitan COVID-19 akan terus mencatatkan trend penurunan dengan kerjasama Keluarga Malaysia mematuhi SOP meskipun jumlah kes jangkitan harian COVID-19 menunjukkan ketidaktentuan.
Kedah akan beralih daripada Fasa 1 ke Fasa 2 berkuat kuasa 1 Okt, tiada lagi negeri dalam Fasa 1 – PM @IsmailSabri60 pic.twitter.com/ZEVgudXoqM
— BERNAMA (@bernamadotcom) September 29, 2021
Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuatkuasa 1 Oktober 2021:
Lembah Klang : Drpd Fasa 2 kpd Fasa 3
(KL, Putrajaya, Selangor)
Melaka : Drpd Fasa 2 kpd Fasa 3
Kedah : Drpd Fasa 1 kpd Fasa 2 pic.twitter.com/hEHSi9LG7Z— BERNAMA TV 🇲🇾 (@BernamaTV) September 29, 2021
Sumber: Bernama