Siakap Keli
Gambar: Zaleha Rusli & Pinterest

Boleh Sukat Guna Apa-apa Bekas, Wanita Ni Kongsi Tips Masak Agar-agar Cantik Untuk ‘Beginner’

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Agar-agar merupakan sejenis pencuci mulut yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Bermacam-macam menu agar-agar pernah kita jumpa yang sudah pasti rasanya pun unik dan berbeza-beza.

Cara penyediaan agar-agar ni memang nampak mudah, tapi kalau tersalah sukatan nanti haru jadinya. Kalau terkurang air agar-agar boleh jadi keras, terlebih air nanti lembik pula.

Tekstur agar-agar ni pula berbeza ikut menu yang nak dibuat. Untuk dapat tekstur yang pelbagai ni juga kena ada ‘formula’ tertentu.

Bagi yang selalu ‘dilema’ dengan sukatan untuk buat agar-agar, perkongsian Zaleha Pusli melalui grup Facebook Masak Apa Hari Ni.. (MAHN) mungkin dapat membantu. Nak tahu macam mana nak dapatkan agar-agar cantik, ikuti tips yang dikongsikan di bawah ini.

Tips agar-agar cantik untuk beginner

1. Basahkan agar-agar tali hingga lembut dan buang airnya.

2. Isikan agar-agar tersebut serta padatkan dalam mana-mana bekas, cawan atau mangkuk. Ingat ya, mesti dipadatkan. Contoh seperti dalam gambar.

Gambar: Zaleha Rusli via MAHN

3. Nisbahkan agar-agar kepada air atau apa-apa cecair (termasuk susu, santan dan sebagainya) ikut nisbah ni (agar-agar : cecair) :

  • 1 bekas : 4 bekas (keras-keras manja tapi kalau suka keras-keras sikit okay dah cantik)
  • 1 bekas : 4.5 bekas (sedang-sedang saja)
  • 1 bekas : 5 bekas (lembut, tapi jangan sampai lebih 5 bekas nanti lembik atau berair sangat)

Nisbah air 4 ke 5 ikut kekentalan yang disukai. Anggaran dia contoh agar-agar dapat 1 gelas, airnya 4 ke 5 gelas, ikut suka kita nak keras mana.

Kalau letak susu atau santan pun sama, sukatkan sekali dengan air supaya dapat 4 atau 5 gelas tu. Jadi tak perlu sukat beriya tepat-tepat sangat timbangan agar-agar atau isipadu cecair sekiranya tak yakin.

Insya Allah jadi agar-agar tu nanti.

Cara ni mudah sebab kalau kita beli agar-agar timbang kat kedai yang tak ada plastik, tak boleh nak sukat air dengan plastik tu. Kalau kita tak nak pakai semua agar-agar dalam sepaket tu, cara ni paling sesuai digunakan.

Sebanyak mana nak masak agar-agar, kalau satu periuk pun cara ni masih berkesan. Sesuai untuk meniaga.

Ada juga petua-petua pakai cawan atau sukatan liter, tapi kita tak tahu saiz cawan yang digunakan. Kalau tiada alat penyukat liter spesifik atau botol air 1.5 liter tu pun tak ada, cara ni lebih selamat digunakan.

Untuk dadih atau taufufa, boleh letak air dalam 6 ke 8 bekas. Nak buat cikedut pun boleh.

Petua ni petua arwah mak dan arwah maklong saya dulu. Semoga bermanfaat untuk yang masih ragu-ragu nak masak agar-agar. Apapun cara yang kita gunakan asal dapat agar-agar yang cantik dan sedap tak ada masalah. Lain orang lain caranya kan.

Selamat mencuba!

Sumber: Zaleha Rusli via Masak Apa Hari Ni.. (MAHN)

Eyla Azri

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.