Siakap Keli

Gardenia KL Bertekad Terus Menyokong Petugas Barisan Hadapan Dan B40 Sepanjang 18 Bulan Pandemik

Rakyat Malaysia telah tampil untuk menunjukkan kemurahan hati dan keprihatinan kepada insan lain dalam suasana sukar sepanjang tempoh 18 bulan lepas, sambil membantu satu sama lain menempuh kebiasaan baharu dan mengharungi pandemik, sekali gus menyemarakkan semangat Merdeka dan Hari Malaysia pada tahun ini. Berbekalkan semangat kekitaan yang sama, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) telah tampil untuk menyokong petugas barisan hadapan dan golongan B40 sejak Mac 2020 menerusi Program Bantuan COVID-19 Gardenia. Bantuan berjumlah RM1 juta telah dihulurkan untuk membawa manfaat kepada 90,000 penerima yang terdiri daripada pekerja barisan hadapan dan komuniti kurang mampu.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam Gardenia KL, Hazlinah Harun, berkata, “Kami percaya semua orang perlu memainkan peranan untuk membantu Malaysia bangkit kembali daripada kesan pandemik. Sebagai jenama yang prihatin, Gardenia KL bersyukur kerana berpeluang memastikan petugas barisan hadapan kita mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya semasa bertugas dalam waktu kerja yang panjang, dan meringankan beban yang dihadapi oleh golongan B40. Kami amat berterima kasih kepada pasukan sukarelawan kami yang bekerja keras untuk memastikan bantuan diberikan tepat pada masanya di bawah Program Bantuan COVID-19 Gardenia dalam tempoh 18 bulan lepas. Kami juga merakamkan penghargaan setulus ikhlas kepada rakan-rakan komuniti Gardenia KL yang membolehkan bantuan sampai kepada masyarakat yang paling memerlukan.”

Program Bantuan COVID-19 Gardenia yang meliputi lapan fasa dilaksanakan dari Mac 2020 hingga Ogos 2021. Menerusi program ini, Gardenia KL mengagihkan lebih 500,000 produk Gardenia kepada lebih 90,000 penerima yang terdiri daripada petugas barisan hadapan perubatan di 500 pusat pemvaksinan di seluruh Semenanjung Malaysia, petugas barisan hadapan ekonomi seperti penghantar makanan dan barangan serta isi rumah B40. Bantuan juga diberikan kepada pelajar universiti yang bergantung kepada program Program Food Bank Siswa di universiti mereka.

Sukarelawan bagi Pusat Prihatin Orang Asli (COAC), Koong Hui Yein berkata, “Kami menghargai sumbangan Gardenia KL yang menyediakan bekalan makanan kepada masyarakat Orang Asli yang terjejas akibat PKP pertama. Penduduk begitu gembira melihat lori Gardenia tiba di Kampung Sungai Mai, Jerantut, Pahang.”

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan yang dilaksanakan untuk memutuskan rantaian jangkitan menyebabkan banyak perniagaan kecil dan sederhana gulung tikar, seterusnya mengakibatkan ramai yang kehilangan kerja dan mengalami masalah menyara hidup. Pada hakikatnya,  Gardenia KL sedar akan implikasi kewangan pandemik terhadap mereka yang mendapat upah harian, terutamanya komuniti di sekitar dua kilang terbesar Gardenia. Selepas menerima permintaan daripada penduduk Kampung Bukit Naga di Bukit Kemuning yang berada dalam keadaan terdesak, Gardenia KL menyumbangkan bantuan tunai khas berjumlah RM55,000  selama empat bulan pada bulan Mac, Mei 2020 dan Januari, Julai 2021, sebagai sebahagian daripada Program Bantuan COVID-19 Gardenia.

Berkongsi kisah dan luahan orang kampung, ketua Kampung Bukit Naga, Abdurrahman Misbah, yang menjadikan rumahnya sebagai pusat pengagihan makanan bagi golongan memerlukan berkata, “Pada hari-hari tertentu, terdapat sehingga 50 ketua keluarga, termasuk warga asing yang datang ke rumah saya untuk mendapatkan bantuan makanan. Ada yang tiada lagi wang untuk membeli susu tepung untuk bayi mereka dan tiada makanan untuk mengalas perut anak mereka. Kami bersyukur kerana masyarakat umum dengan murah hati memberikan sumbangan, dan ini telah membolehkan kami terus membekalkan barangan kepada keluarga yang memerlukan.” Beliau menambah bahawa penduduk di sini terdiri daripada golongan miskin bandar, pekerja sambilan dan ibu tunggal.

Dalam usaha memaksimum capaian bantuan yang dihulurkan, Gardenia KL telah bekerjasama rapat dengan rakan-rakan komuniti seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Pertubuhan Kebajikan Oasis Harapan, Pertubuhan Sukarelawan Kita Kawan, dan Absolute Malaysia (AMAL).

Usaha JKM ini menyaksikan kerjasama antara kakitangan JKM dengan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPA) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Secara terkumpul, barangan bantuan makanan COVID-19 Gardenia yang diagihkan oleh JKM membawa manfaat kepada 13,000 penerima yang terdiri daripada golongan miskin, kurang upaya, warga emas dan keluarga yang menjaga anak-anak yatim. Tersentuh dengan kesanggupan Gardenia KL untuk membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat pandemik, JKM berharap untuk meneruskan usaha sama yang murni ini demi manfaat masyarakat yang memerlukan.

Pek sumbangan yang disediakan di bawah Program Bantuan COVID-19 Gardenia mengandungi produk kegemaran ramai seperti Roti putih Gardenia Original Classic, Kaya Auntie Rosie, Toaster Waffles, mee kuning Numee Gardenia, roti krim dan muffin. Bantuan yang diberikan sempena sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri termasuk juadah tambahan seperti kurma dan biskut raya.

“Kejayaan menyampaikan sumbangan COVID-19 bernilai RM1 juta adalah satu lagi mercu jaya dalam warisan kami sebagai jenama yang prihatin. Kami sedar bahawa usaha ke arah pemulihan itu satu proses berterusan, jadi kami sentiasa prihatin dan memainkan peranan membantu masyarakat yang memerlukan. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan orang ramai untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi semua garis panduan kesihatan demi kesejahteraan semua. Kami yakin bahawa bersama-sama, kita boleh memutuskan rantaian jangkitan dan membina sebuah negara yang bingkas dan berdaya tahan,’ rumus Hazlinah.

Nur Farra