Pepatah ada mengatakan, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit. Bagi Asriadi Syamsuddin, dia berjaya merealisasikan impiannya membeli kereta hasil kerja keras mengumpul selama empat tahun, tulis SuaraSulSel.id.
Menurut portal itu, Asriadi yang bekerja sebagai peniaga di kaki lima di Kota Makassar telah menyimpan wang berkenaan dalam botol air mineral.
Hasil simpanan sejak 2018, dia akhirnya dapat membeli kereta idaman, Toyota Rush baru-baru ini sekaligus membuatkan para pekerja di pusat jualan kereta terpegun melihatnya.
“Saya menabung sejak tahun 2018 sampai sekarang, ada dua ratus juta terkumpul,” katanya seperti dipetik portal tersebut.
Menurut portal, wang tersebut terdiri daripada wang Rupiah 2,000 yang berjumlah Rp100 juta dan ratusan juta bakinya yang terdiri daripada duit syiling.


Katanya, wang itu diperoleh daripada para pelanggan setiap hari. Tidak tahu apa yang ingin dibuat dengan wang tersebut, dia kemudiannya memutuskan untuk mengumpul syiling-syiling diterima.
Ketika ingin membeli kereta idamannya, Asriadi terpaksa meminjam kereta jirannya untuk mengangkut syiling yang ada.
Malah, para pekerja di pusat jualan itu dikatakan mengambil masa yang lama untuk mengira jumlah wang yang dibawa lelaki berkenaan.
Seorang pekerja menyatakan bahawa Asriadi sememangnya merancang untuk membeli sebuah kereta dengan harga Rp 271 juta(RM78,256). Dalam pada itu, terdapat sembilan botol syiling dan tiga kotak Rp 2,000 yang disimpan.
Sumber: Suarasulsel.id