Seorang remaja perempuan di India menarik perhatian ramai apabila dikatakan mengeluarkan ‘air mata’ batu. Kongsi Oddity Central, Chandni, 15 telah mengeluarkan sekitar 10 hingga 15 biji batu-batu kecil daripada matanya setiap hari sejak 17 Julai lalu.
Pun begitu, kejadian pelik itu tidak dapat dijelaskan menurut perubatan, tulis portal itu.
Sejak fenomena itu berlaku, sekitar 70 biji batu telah dikumpul dalam tempoh dua bulan. Dipercayai, remaja itu mengeluarkan batu tersebut bermula sekitar 6 pagi sehingga petang. Tiada batu terbentuk atau dikeluarkan pada waktu malam, lapor Oddity Central.
Menerusi video tular, Chandni dilihat mengeluarkan satu ketulan kecil pada kelopak mata kirinya melalui urutan. Selepas batu itu keluar, satu lagi batu muncul pada mata kanannya dan turut dikeluarkan.
Hal ini meyakinkan ahli keluarga remaja itu yang dia menangis ‘air mata’ batu, namun pakar oftalmologi menegaskan perkara itu adalah mustahil.
Salah seorang pakar, Dr Awadhesh Kumar mendakwa kejadian itu tidak mempunyai penjelasan saintifik dan percaya remaja itu memasukkan batu tersebut ke dalam matanya sendiri atau disuruh orang lain untuk mendapatkan perhatian.
Seorang pengarah hospital mata tempatan, Dr Neeraj Gupta pula mendakwa fenomena itu tidak berasaskan perubatan dan termasuk dalam penipuan.
Dipercayai kerana kesusahan, keluarga Chandni dikatakan tidak mampu untuk menjalani ujian oleh pakar perubatan, justeru sehingga kini keadaannya tidak mendapat penjelasan.
Sumber: Oddity Central, The Mirror Time