Siakap Keli
Gambar: Google

Skuad Piala Dunia England Hadapi ‘Krisis’, 5 Pemain Enggan Divaksin, Dakwa Diri Terlalu Sihat Untuk Dijangkiti Covid-19

Skuad bola sepak England dihimpit krisis selepas lima orang pemain dalam pasukan tersebut tidak mahu divaksin, lapor Daily Mail.

Tiga daripada pemain pasukan tersebut dilaporkan percaya bahawa mereka terlalu sihat untuk dijangkiti dengan virus COVID-19 sementara ada yang dihalang oleh isteri mereka.

Salah seorang daripada mereka dikatakan dengan beraninya menyatakan bahawa dirinya terlalu ‘muda dan cergas’ untuk dijangkiti dengan virus itu, sementara yang lain pula dilaporkan mempercayai ‘teori konspirasi’ anti-vaksin.

Selebihnya difahamkan ‘dipaksa’ untuk tidak divaksin oleh isteri serta teman wanita mereka yang menentang vaksin.

Perkara itu akan menjadi suatu tamparan hebat buat Pengurus pasukan England, Gareth Southgate kerana penganjur Piala Dunia FIFA telah merancang untuk menghalang semua pemain yang tidak divaksinasi daripada mengambil bahagian di Qatar pada tahun depan.

Liga Perdana Inggeris juga turut bergelut dengan isu beberapa pemain yang tidak mahu divaksin, dengan hampir dua pertiga pemain bertaraf bintang yang belum divaksin sepenuhnya termasuk ramai yang menolak untuk divaksin.

Pegawai kelab menyatakan bahawa bilik persalinan telah ‘tercemar’ dengan pemain senior yang menyebarkan teori konspirasi yang melibatkan Bill Gates, kemandulan serta kebergantungan terhadap vitamin.

Menurut Daily Mail, tiga daripada pemain bola sepak antarabangsa England itu adalah pemain skuad senior yang telah membantu England menjadi naib juara Kejuaraan Eropah yang berlangsung pada musim panas tahun ini.

Pasukan England akan melayakkan diri ke Piala Dunia pada bulan ini sekiranya mereka berjaya mengalahkan pasukan Andorra dan Hungary, namun mana-mana pemain yang tidak divaksin difahamkan tidak boleh dibawa ke Qatar.

Walaupun ada kemungkinan mereka dilarang mengambil bahagian di Piala Dunia, para pemain tersebut dilaporkan tetapkan ‘enggan menukar keputusan mereka’.

Selain daripada itu, pelbagai hujan anti-vax dilaporkan banyak dibincangkan di bilik persalinan pemain serta dalam group Whtasapp mereka.

Menurut The Sun, doktor kelab menyatakan: “Beberapa perkara yang mereka baca dan percaya dari internet sangat luar biasa.

“Pemain menyatakan bahawa vaksin akan menjadikan mereka tidak subur, ianya juga adalah sebahagian daripada perancangan yang melibatkan Bill Gates, dan wabak pandemik ini hanyalah suatu propaganda sahaja.”

Sehingga kini, hanya tujuh daripada 20 kelab yang bermain dalam Liga Perdana Inggeris telah divaksinasi lebih daripada 50 peratus ahli pasukan mereka.

Leeds, Wolves Southampton dan Brentford dilaporkan telah memvaksin 90 peratus kakitangan mereka manakala sekurang-kurangnya tiga kelab di Liga Perdana Inggeris dilaporkan tidak sampai 10 orang pun yang telah menerima suntikan vaksin.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right