Seorang bayi perempuan berusia 18 hari di Manchester, UK dilapor meninggal dunia akibat dihimpit oleh lengan ayahnya secara tidak sengaja ketika tidur.
Menurut laporan Daily Mail, kematian bayi malang tersebut, Asha-May itu berlaku dalam satu kejadian pada pagi 6 Januari tahun lalu dan dibicarakan semula baru-baru ini.
Pada awalnya, ibu bayi berkenaan, Alise Hulme bersama suaminya, Finney melaporkan kematian tersebut kepada polis dan memberitahu bahawa bayi mereka ditemui mati di katil bayi.
Bagaimanapun kemudiannya, mereka mengakui bahawa Asha-May meninggal dunia kerana tercekik akibat terhimpit di bawah lengan semasa tidur bersama di katil mereka.
Hasil siasatan pihak patologi, kematian bayi malang tersebut adalah disebabkan hypoxia, di mana saluran udara tersumbat hingga menyebabkan berlaku kecederaan pada otak.
Menurut fakta kes, Alise telah berpesan kepada suaminya beberapa jam sebelum itu supaya meletakkan bayi mereka ke katil bayi selepas selesai menyusukannya.
Bagaimanapun jelas Alise, suaminya tidak melakukan seperti apa yang disuruhnya lalu tertidur bersama Asha di katil mereka.
“Saya (telah) meletakkan Asha di katilnya tapi apabila bangun setelah dikejutkan Alise, saya dapati Asha di bawah lengan saya,” dakwa Finney, menafikan kecuaiannya yang terlupa meletakkan Asha di katil bayi.
Kes berkenaan yang menyebabkan bayi mereka mati terhimpit itu dibicarakan di mahkamah.
Namun peguam kes, Andrew Cox membacakan semula kes dan menyimpulkan bahawa kematian tersebut tidak dikira sebagai kes yang disengajakan.
“Sekarang diterima sebagai bukti bahawa ketika kedua-dua ibu bapa (ini) bangun pada pagi hari 6 Januari 2020, Asha-May sebenarnya berada di tempat tidur mereka dan di bawah lengan kanan Encik Finney.
“Ini bertentangan dengan versi peristiwa yang diberikan oleh mereka berdua kepada doktor di hospital, kerana Encik Finney adalah orang yang terakhir memberi makan kepad Asha-May (pada malam sebelum kejadian).
“Kemungkinan besar, dia tidak sengaja. Saya rasa wajar untuk mencatat kesimpulan bahawa kematian (bayi ini) adalah akibat kemalangan,” kata peguam kes, Andre Cox.
Difahamkan, tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka selepas itu.
Sumber: Daily Mail