Mungkin ada yang mempersoalkan mengenai sasaran peratusan populasi dewasa yang lengkap divaksin untuk kebenaran rentas negeri. Jika sebelum ini sasarannya adalah 80 peratus, namun sasaran itu dinaikkan hingga ke 90 peratus seperti yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada menjawab persoalan ini menerusi satu kenyataan dalam siaran langsung hari ini.
Jelas Ismail, tujuan kerajaan bertindak menaikkan peratusan tersebut sebelum kebenaran rentas negeri diberikan adalah untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.
“Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80 peratus boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus. Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil.
“Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka.
“Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Ismail menjelaskan persoalan sedemikian menerusi wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan dalam televisyen tempatan malam ini.
Sumber: Bernama