Siakap Keli

Program Dapur It’am 6.0 Beri Insentif Tanpa Henti Sehingga Mac 2022

KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2021 – Program Dapur It’am 6.0 kembali diaktifkan bermula  hari ini sehingga 6 Mac 2022. Pelancaran program tersebut telah disempurnakan oleh YB  Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal  Agama) di Surau Al-Hikmah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Beringin Jinjang Utara. Turut  hadir Datuk Dr. Mohd Daud Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan  (MAIWP) dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah  Persekutuan (JAWI). 

Program Dapur It’am 6.0 anjuran JAWI merupakan inisatif di bawah Pelan Intervensi Agensi  Agama Mendepani COVID-19 (PIAGAM C-19) melibatkan penyertaan 70 buah masjid dan  surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Program  tersebut dijayakan melalui peruntukan perbelanjaan yang disalurkan oleh MAIWP berjumlah  RM 10,710,000. 

Dapur It’am adalah sebuah program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan  surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis  menu masakan setiap hari secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan.  Tujuan utama program tersebut adalah menyasarkan sifar lapar dalam tempoh pandemik  Covid-19 yang melanda negara. 

Kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid dan surau memasak makanan tengah  hari secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan  kepada golongan sasaran yang ditentukan dalam kalangan penduduk Projek Perumahan  Rakyat, Projek Perumahan Awam, B40, Asnaf dan Petugas Barisan Hadapan. Proses agihan  makanan tengah hari akan dilaksanakan pada setiap hari, Isnin hingga Ahad berdasarkan  Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. 

Program Dapur It’am 6.0 dijangka dapat memberikan manfaat kepada 8,400 orang penerima  setiap hari, manakala jumlah keseluruhan penerima manfaat yang dijangkakan sepanjang  program tersebut berlangsung berjumlah 1,285,200 orang. Dapur It’am adalah inisiatif yang  telah digerakkan semenjak awal tempoh pandemik melanda negara tahun lalu. Sehingga  bulan Oktober 2021, 1,639,256 pek makanan bermasak bernilai RM 13,521,690 telah  diagihkan kepada ‘Keluarga Malaysia’ yang memerlukan.

Siti Fatimah