Ketiadaan servis beberapa media sosial semalam iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp di seluruh dunia telah membuatkan orang ramai tak senang duduk.
Masing-masing terkesan dengan gangguan berkenaan tidak kira individu mahupun perniagaan yang bergantung kepada platform terlibat.
Jika gangguan beberapa platform media sosial pun sudah membuatkan sebahagian besar warga dunia tak tentu arah, bagaimana pula jika kita ketiadaan Internet suatu hari nanti?
Berikut adalah jangkaan apa yang boleh berlaku jika Internet terputus suatu hari nanti menurut penulisan portal Techworm pada Julai 2020.
1. Tiada jaringan sosial
Apabila Internet tidak dapat diakses, para pengguna media sosial tidak dapat berhubung dengan rakan-rakan secara atas talian. Justeru, mereka yang biasanya bergantung kepada media sosial untuk berhubung dengan keluarga akan beralih kepada talian telefon untuk berhubung. Hal ini mungkin menyebabkan perkhidmatan telekomunikasi terjejas kerana terpaksa menampung beban berlebihan, tulis portal itu.
2. Tiada maklumat baru
Kebanyakan dari kita bergantung dengan Internet untuk mendapatkan maklumat. Daripada berita, maklumat perubatan sehinggalah ramalan cuaca, kebanyakannya kita perolehi daripada Internet.
Menurut Techworm, trafik udara tidak dapat berfungsi tanpa Internet manakala (aktiviti) di lautan boleh jadi berbahaya. Jaringan keretapi di bandar-bandar juga akan tergendala.
3. Tiada perbankan online
Perkhidmatan perbankan atas talian juga dijangka terjejas sekiranya akses Internet di seluruh dunia terputus. Kegagalan ATM akan menyebabkan bank menjadi sesak kerana segala transaksi perlu dilakukan secara manual.
Pembelian secara atas talian juga akan terhenti termasuk perdagangan saham, lapor portal tersebut.
4. Jaringan GPS tidak dapat berfungsi
Tambah portal itu, rangkaian GPS akan rosak sepenuhnya sepertimana komunikasi satelit biasa berikutan segala yang dihubungkan ke satelit mesti ditutup.
Malah, syarikat-syarikat besar seperti Uber, Facebook dan Google juga berpotensi jatuh termasuk jutaan pekerja IT dan peniaga yang bergantung sumber pendapatan melalui Internet.
Bagaimanapun jelas Techworm, Internet adalah berdaya tahan dan tidak boleh sewenang-wenangnya ‘dimatikan’ atau ‘ditutup’ di seluruh dunia.
Namun, menyifatkan Internet seperti sungai yang tak dapat dihentikan alirannya serentak di seluruh dunia, ia masih boleh disekat, diubah aliran atau dihentikan sepertimana yang berlaku semasa pergolakan di Mesir pada 2011 (Science Focus, n.d).
Sumber: Techworm, Science Focus