Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersiap-siaga akan segala kemungkinan yang berlaku selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan baru-baru ini.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kesal dengan pembubaran tersebut yang terjadi secara tidak dijangka.
“PAS mengikuti perkembangan politik di Melaka dan melahirkan kekesalan di atas pembubaran DUN Melaka secara luar jangka dalam tempoh pemulihan pandemik ini.
“Namun PAS menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuklah mendepani pilihan raya negeri (PRN) sekiranya dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, tambah Abdul Hadi, sebuah jawatankuasa induk PRN Melaka juga telah ditubuhkan bagi merangka strategi menghadapi pilihan raya tersebut.
Menurutnya, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh naib presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan dibantu Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.
Sumber: PAS