Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

“Tiada Yang Sudi Terima,” Wanita Dilapor Cabut 11 Batang Gigi Sendiri Kerana Tak Mampu Dapatkan Khidmat Doktor

Menderita enam tahun alami sakit gigi dipercayai akibat masalah gusi, seorang wanita di Suffolk memutuskan untuk mencabut sendiri 11 batang giginya, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, Danielle Watts, 42, mendakwa tidak berjaya mendapatkan khidmat doktor gigi kerajaan dan juga tidak mampu untuk pergi ke klinik gigi swasta.

Dipercayai tidak tahan menanggung kesakitan sejak sekian lama serta gigi mereput satu persatu, wanita itu terpaksa mengambil jalan sendiri.

“Saya alami masalah gusi yang teruk selama beberapa tahun kebelakangan ini hingga gigi saya mula mati satu persatu.

“Hingga satu tahap, bila saya tekan je, ia tertanggal. Saya sudah kehilangan 11 batang gigi dan saya rasa akan hilang semua gigi saya,” ujarnya.

Menurut portal itu, Suffolk merupakan salah satu kawasan yang mengalami masalah kekurangan doktor gigi yang paling teruk di UK.

“Saya tahu kami ada masalah kerana mereka seringkali membatalkan temujanji dan saya dapat surat mereka tamatkan perkhidmatan.

“Saya tak sedar ia akan jadi terlalu sukar untuk mencari doktor gigi kerajaan sehinggalah saya cuba mencarinya. Saya dapat senarai doktor gigi dan telefon setiap mereka, namun tiada yang sudi terima.

“Ada antara mereka minta saya hubungi semula dalam tempoh empat bulan, tapi apabila saya hubungi, kisah sama berulang.”

Tambahnya, dia terpaksa berputus asa selepas pandemik melanda.

Menceritakan penderitaannya, Watts berkata giginya mula mereput sejak dua tahun lalu, memaksanya memakan ubat tahan sakit setiap hari.

“Gusi saya terhakis dan saya alami hakisan tulang sehingga nampak akar gigi. Saya tahan sakit bilamana ia makin bergoyang sehingga ‘mati’. Kemudian, saya boleh cabut gigi tersebut dengan hanya memicitnya keluar.

“Saya terpaksa guna jarum dan pencungkil gigi untuk cucuk nanah serta jangkitan pada gusi, kemudian kumur dengan air garam.”

Jelas wanita itu, dia juga terpaksa menanggung sakit ketika ingin makan.

“Nak makan pun sakit hingga saya perlu potong makanan jadi kecil. Makan pisang pun sakit dan saya tak boleh minum air sejuk kerana ia akan buatkan kesakitan bertambah teruk,” kongsi wanita itu.

Kredit: Daily Mail

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.