Ketidakhadiran seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ke kelas atas taliannya sejak Januari lalu rupanya menjadi tanda dia didera kekasih ayahnya sendiri, lapor Daily Star.
Menurut portal itu, kanak-kanak lelaki itu telah didera dengan dikurung di dalam bilik serta dibiarkan kebuluran oleh suspek sehingga meninggal dunia.
Mangsa dikatakan tinggal bersama wanita itu setiap hari (kecuali Sabtu) di mana dia telah dikunci dari luar oleh pelaku yang berusia 39 tahun.
Malah, menurut portal berkenaan, kanak-kanak itu dipercayai berhenti mengikuti kelas atas talian walaupun suspek berhubung dengan pihak sekolah.
Pada 10 Februari, mangsa dilaporkan telah dibawa suspek ke hospital dalam keadaan kurus dan tidak bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia.

Hasil bedah siasat mendapati dirinya meninggal dunia akibat kurang zat dan hanya mempunyai berat badan sekitar 16.8 kilogram sahaja.
Lantaran itu, wanita tersebut telah ditahan dan didakwa di bawah tuduhan bunuh darjah kedua. Sementara itu, ayah mangsa pula berhadapan tuduhan ‘pembunuhan secara kecuaian’.
Peguam daerah, David Hoovler berkata, “Tak tercapai dek akal seorang akan terima tanggungjawab menjaga seorang anak kecil dan kemudian menafikan keperluan asas hidup anak tersebut.
“Sangat mengganggu bagaimana anak ini dibiarkan ‘tersembunyi’ daripada pihak sekolah sebelum meninggal dunia.
“Dia hanya mempunyai berat 16.8 kg dan berusia tujuh tahun. Saya rasa tak perlu bercakap lebih. Kita ada seorang individu yang bertanggungjawab menyebabkan keadaan yang menjurus kepada kematian mangsa.
“Dan ada individu lain yang menyaksikan ianya sedang berlaku dan sepatutnya mengambil tindakan, tetapi tidak berbuat demikian.”
Tarikh perbicaraan seterusnya kes tersebut dijangka pada 26 Oktober akan datang.
Sumber: Daily Star