Siakap Keli
Gambar Via Bernama

165,000 Penganggur Direkodkan Di Selangor Setakat Jun Tahun Ini

SHAH ALAM, 12 Okt (Bernama) — Selangor merekodkan kadar pengangguran 4.4 peratus atau melibatkan 165,000 penganggur setakat Jun tahun ini susulan krisis pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak awal tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Negeri Mohd Khairuddin Othman.

Katanya kerajaan negeri memandang berat kadar berkenaan dan berharap peratusan itu dapat diturunkan melalui penganjuran program Jelajah Selangor Bekerja 2021 yang menyediakan menawarkan hampir 25,000 peluang pekerjaan.

Beliau berkata melalui penganjuran program yang melibatkan sebanyak 200 syarikat itu, adalah diharapkan kadar pengangguran dapat diturunkan kepada 3.7 peratus menjelang suku pertama tahun hadapan.

Menurutnya pada 2019 kadar pengangguran adalah pada 2.9 peratus manakala 2020 angkanya meningkat kepada 4.5 peratus susulan pandemik yang melanda seluruh dunia.

Mengenai program Jelajah Selangor Bekerja 2021, Mohd Khairuddin berkata ia akan bermula dari 23 Okt hingga Disember tahun ini, menjelajah ke Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.

“Program ini diadakan secara hibrid iaitu dalam talian dan fizikal, serta tidak mengabaikan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan seiring dengan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya pada majlis perasmian program tersebut di sini hari ini.

Katanya Jelajah Selangor Bekerja 2021 kali ini turut memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dalam industri aeroangkasa dengan kerjasama Invest Selangor Berhad selain peluang pekerjaan lain meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan dan sebagainya.

Beliau berharap rakyat Selangor khususnya belia dapat mengambil peluang di atas inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri dengan mendaftar di website www.selangorbekerja.com.my untuk mendapatkan kerjaya yang ditawarkan serta membantu majikan mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan.

Sumber: BERNAMA

Sofea

There's always another side to every story