Siakap Keli
Gambar: Bernama

Grab Malaysia Tawar Ganjaran Kepada Atlet Paralimpik Malaysia Yang Beraksi Di Tokyo 2020 Sebagai Tanda Penghargaan

Atlet paralimpik Malaysia yang beraksi pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini dilaporkan bakal menerima ganjaran lumayan daripada syarikat Grab Malaysia sebagai tanda penghargaan perjuangan mereka mengharumkan nama negara di mata dunia.

Pengarah Urusan Grab Malaysia, Sean Goh memaklumkan bahawa atlet-atlet luar biasa ini bukan sahaja telah mencetuskan inspirasi kepada rakyat Malaysia, malahan mereka telah mencerminkan sifat tidak mudah berputus asa dalam perjalanan mencapai sesuatu kejayaan.

Beliau juga turut menyatakan bahawa atlet-atlet ini telah memberikan inspirasi serta motivasi untuk terus membangunkan negara yang inklusif.

“Dan seperti biasa, anda terus memberikan inspirasi dan motivasi kepada kami semua untuk terus membangunkan negara yang inklusif.”

1 juta GrabReward point serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun kepada 3 pemenang pingat emas

Untuk menghargai kecekalan, keazaman serta dedikasi yang ditonjolkan oleh para atlet paralimpik negara, Grab Malaysia dengan bangganya akan menawarkan 1 juta GrabReward point serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun kepada tiga atlet negara yang telah berjaya meraih pingat emas buat negara. Mereka yang bakal menerima ganjaran ini adalah Bonnie Bunyau Gustin, Cheah Liek Hou dan Abdul Latif Romly.

500,000 point GrabRewards serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun kepada pemenang pingat perak

Bagi dua atlet paralimpik negara iaitu Jong Yee Khie dan Chew Wei Lun yang turut cemerlang menyumbang pingat perak pada temasya tersebut juga akan diberikan ganjaran berupa 500,000 point GrabRewards serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun.

Imbuhan 500,000 point GrabRewards serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun kepada Atlet lontar peluru paralimpik negara

Selain daripada itu juga, atas keazaman yang tinggi serta semangat luar biasa yang ditonjolkan oleh Atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, Grab Malaysia akan menghadiahkan 500,000 point GrabRewards serta pesanan percuma GrabFood selama satu tahun kepadanya walaupun dia tidak berjaya membawa pulang sebarang pingat selepas disenaraikan sebagai Did Not Start (DNS) atas isu teknikal.

Tak hanya itu, Grab Malaysia juga turut berjanji akan memberi ganjaran kepada seluruh atlet paralimpik Malaysia yang bertanding serta kontinjen paralimpik negara yang sentiasa menyokong atlet-atlet negara.

Komitmen dan semangat yang dipersembahkan oleh atlet paralimpik negara di pentas dunia ini wajar dijadikan ikutan. Tahniah buat seluruh atlet dan kontinjen negara dalam menjayakan sukan Paralimpik Tokyo 2020!

Aqmal Ezany

I write what is right