Siakap Keli

“Pengkalan Lumpur Banyak Susah…”, Lelaki Kongsi Dipercayai Surat Yap Ah Loy Mengadu Masalah Air Pada 1877

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Dibina pada tahun 1857, Kuala Lumpur melalui pelbagai peristiwa yang kekal diingati sebagai sejarah sehingga ke hari ini. Mungkin ada yang tidak tahu, Kuala Lumpur pada awalnya berada di bawah Selangor dan akhirnya menjadi ibu negara Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957 sehingga kini.

Negeri di Wilayah Persekutuan itu juga pernah menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang menarik perhatian banyak pedagang.

Ketika itu, pihak Inggeris telah melantik Kapitan Cina atau Kapten kepada orang Cina untuk mentadbir beberapa kawasan di Kuala Lumpur dengan menetapkan undang-undang dan peraturan.

Antara Kapitan yang terkenal pada ketika itu ialah Yap Ah Loy, yang turut membantu memperbesarkan Kuala Lumpur daripada pekan perlombongan kecil yang sunyi bertukar menjadi bandar Selangor.

Bercakap mengenainya, seorang pengguna Facebook, Izmal Karim dan Saufy Jauhary ada berkongsikan mengenai deskripsi surat dari Yap Ah Loy kepada Residen Selangor, Bloomfield Douglas R and R pada tahun 1877.

Menariknya, isi surat itu mengandungi  pemakluman Yap Ah Loy mengenai ketiadaan air di dalam Pengkalan Lumpur.

Surat itu ditulis dalam jawi lama dan telah diterjemahkan oleh Saufy Jauhary. Ikuti perkongsian di bawah ini untuk melihat kandungan surat tersebut.

Warkah & Sejarah :Kapitan Kelang di Pengkalan Lumpur – 1877

Deskripsi :

Transliterasi warkah dari jawi lama kepada rumi melayu oleh Fb Tuan Saufy Jauhary

Al-Haqqan

Surat tulus dan ikhlas daripada beta Seri Indera Perkasa Wijaya Bakti Yab Loy, Kapitan Kelang dalam Kuala Lumpur apalah kiranya kehadapan Majlis sahabat beta Tuan Bloomfield Douglas R and R yang menjadi Berhormat Residen Selangor di dalam Pengkalan Batu adanya.

Over (اوفار) daripada itu, beta permaklum maka kepada sahabat beta oleh seperti surat Sultan Abdul Samad yang diantar (sic: dihantar) kepada beta itu sampai ia dengan selamatnya. Fahamlah yang tersebut di dalamnya.

Dan lagi adalah suatu fasal utang (sic: hutang) Tuan Guthrie itu beta sudah suruh orang turun pergi ambil timah Selangor di dalam dua tiga empat hari ini. Barangkali sampailah ia dan suatu beta di dalam Pengkalan Lumpur banyak susah karena air tiada hendak lancur. Maka inilah beta permaklumkan kepada sahabat beta adanya.

Tertulis kepada 14 haribulan Rabi’ul Awwal 1294. 

“Air tiada hendak lancur”, bermaksud tak ada air hingga tak dapat untuk memancutkan air dari pam kelikir.

Nota:
Lancur – melancur memancur atau me­mancut, mencucur.

Rujukan:
Arkib Negara Malaysia.

Gambar Via Izmal Karim
Gambar Via Izmal Karim

Sumber: Izmal Karim, Saufy Jauhary

" "