Hampir setiap tahun, kes mengenai scam penjualan iPhone sering berlaku tidak kira di dalam negara mahupun luar negara.
Terbaru, seorang lelaki di India dilaporkan telah ditipu apabila membeli iPhone 12 di platform beli-belah secara dalam talian.
Dengan rasa teruja, lelaki tersebut membuka bungkusan yang sampai kepadanya, dengan harapan ia merupakan iPhone yang dipesannya. Namun, dia terkejut apabila mendapati bungkusan tersebut hanyalah mengandungi dua paket sabun yang dibungkus dengan kadbod.
Menurut India Times, lelaki itu telah memilih ‘Open Box Option’ iaitu seseorang pembeli boleh membuka terlebih dahulu bungkusan semasa ia dihantar dan jika barang tersebut baik-baik saja, pembeli perlu berkongsi nombor OTP kepada ejen penghantaran.
Dalam kesnya yang telah ditipu, lelaki tersebut segera menandakan penghantaran bungkusan itu sebagai ‘tidak berjaya’ dan menghubungi khidmat pelanggan. Bungkusannya didakwa masih lagi ditanda sebagai ‘out for delivery’.
Setelah beberapa hari ‘berjuang’, dia akhirnya berjaya mendapatkan semula duitnya sebanyak RS 53,000 (RM2,922).
Lelaki itu menyeru kepada semua pembeli di platform beli-belah itu untuk memilih ‘Open Box Delivery’ sebagai langkah berjaga-jaga daripada percubaan penipuan oleh penjual atau ejen penghantaran.
Sumber: India Times