Siakap Keli

267,176 Pokok Ditanam Sempena Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Di Terengganu

Setakat bulan lalu, sebanyak 267,176 batang pokok ditanam oleh Jabatan Perhutanan Terengganu di seluruh negeri.  Inisiatif ini dilakukan dengan gigih sempena kempen penanaman 100 juta pokok. Ianya juga selaras untuk mengekalkan kawasan hijau terutamanya di kawasan tanah lapang di seluruh negeri Terengganu.

Pegawai Hutan Daerah, Wan Radzi Wan Abdullah berkata bahawa mereka menyasarkan sebanyak 500,000 batang pokok untuk ditanam sehingga akhir tahun ini. Lebih 230,000 batang lagi baki pokok untuk ditanam bagi mencapai sasaran ini.

“Program penanaman ini agak perlahan di peringkat awal kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun begitu, aktiviti tersebut sudah kembali aktif bersama komuniti.” kata Wan Radzi semasa berada di sidang akhbar selepas program penanaman bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Sidang ini telah diadakan di Kampung Kepong yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman di sini pada hari ini.

Sebanyak 200 batang pokok telah ditanam di tanah perkuburan sepanjang majlis itu berlangsung. Kawasan perkuburan yang terlibat termasuklah di Penaga, Merawan dan Bunga Tanjung.

“Terengganu telah menduduki tangga keenam daripada keseluruhan 11 negeri sempena kempen penanaman 100 juta pokok itu.” kata Wan Radzi.

Sumber: Utusan Malaysia

 

 

Akhmar Ikmal