Siakap Keli
Gambar: Google via Hello Doktor

7 Fakta Gigi Susu Yang Kebanyakan Ibu Bapa Tak Tahu, Ikuti Perkongsian Dr. Gigi Ini

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kanak-kanak tak lari dengan gigi susu. Hal ini berikutan gigi susu merupakan set gigi pertama yang dimiliki oleh kanak-kanak apabila mereka mencapai usia 3 tahun.

Bukan itu sahaja, gigi susu juga merupakan gigi yang kebiasaannya mudah berlubang dan kebanyakan ibu bapa akan memilih untuk mencabut gigi susu anak tersebut.

Namun, banyak lagi fakta-fakta mengenai gigi susu yang kebanyakan ibu bapa mungkin tidak tahu.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, boleh ikuti perkongsian yang dikongsikan oleh Doktor Mohd Khairul Izwan.

  • Gigi susu merupakan gigi yang penting kerana ia membantu anak untuk makan, belajar bertutur dan menjadi panduan kepada gigi kekal untuk tumbuh.
  • Kebersihan dan kesihatan gigi susu amat penting kerana gigi susu amat mudah rosak jika kebersihannya tidak dijaga dengan baik disebabkan lapisan enamel pada gigi susu adalah lebih nipis berbanding gigi kekal.
  • Masalah pergigian tidak akan selesai hanya dengan mencabut gigi susu yang rosak kerana ianya boleh menimbulkan masalah yang lain seperti kesukaran anak untuk makan, susunan gigi kekal yang tumbuh tidak teratur serta lain-lain. Ibu bapa seharusnya mencegah kerosakan gigi susu sejak awal, bukan mengambil jalan mudah dengan mencabut gigi susu ketika anak masih kecil tanpa mahu menjaganya dengan baik.
  • Anak seharusnya dibawa ke klinik gigi untuk pemeriksaan sejak usia mereka 6 bulan atau sekurang-kurangnya selepas gigi anak yang pertama tumbuh. Selain untuk memeriksa gigi, langkah ini juga penting supaya anak dibiasakan dengan persekitaran klinik gigi supaya mereka tidak takut dengan doktor gigi apabila semakin besar.
  • Anak perlu dilatih untuk memberus gigi sejak gigi susu pertama mereka tumbuh. Pembersihan gigi boleh dimulakan menggunakan kain/tuala kecil yang bersih. Apabila gigi anak semakin banyak, gunakan berus gigi kecil yang lembut dan berus perlahan-lahan agar tidak mencederakan gusi anak.
  • Gigi anak tetap perlu diberus walaupun mereka meraung/meronta/menangis/mengalami tantrum. Lama-kelamaan jika dilakukan setiap hari, anak akan terbiasa dan tidak lagi meronta ketika gigi mereka dibersihkan.
  • Susu botol boleh meningkatkan risiko kerosakan gigi susu. Bersihkan gigi anak setiap kali selepas mereka menyusu dan elakkan anak menyusu sehingga tertidur. Latih anak untuk minum susu menggunakan gelas apabila mereka sudah memasuki usia 2 tahun.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada semua.

Sumber: Dr. Mohd Khairul Izwan

Nadhirah