Siakap Keli

Betul ke Pengambilan Steroid Menjejaskan Kesuburan Lelaki? Jejaka Nak ‘Sado’ Cepat Kena Baca

Bukan saja perempuan, semua lelaki juga pasti menginginkan tubuh badan yang cantik dan menarik. Berbezanya, lelaki ingin memiliki badan yang tegap, sasa dan menarik manakala perempuan menginginkan badan yang ramping dan seksi.

Untuk merealisasikan impian tersebut, ramai lelaki sudah mula berjinak-jinak untuk pergi ke gym dan mendalami aktiviti-aktiviti yang boleh membantu mereka mencapai tubuh badan yang diingini. Semasa di gym, mereka boleh mengangkat berat, bermain besi dan pelbagai lagi aktiviti menarik yang boleh membuatkan badan mereka sihat dan cantik.

Namun begitu, terdapat juga segelintir pihak yang cuba untuk mencapai badan impian mereka dengan menggunakan jalan singkat. Mereka ‘terpaksa’ mengambil steroid kerana ketidaksabaran menunggu proses bina badan yang semestinya mengambil masa yang agak lama.

Sekadar perkongsian, Steroid merupakan sejenis hormon semulajadi yang terhasil di dalam tubuh badan manusia. Steroid bertindak dengan mengawal fungsi badan. Ianya terbahagi kepada dua iaitu kortikosteroid dan anabolik. Kedua-dua jenis Steroid ini boleh diambil secara luaran iaitu menggunakan suplemen.

Steroid sebenarnya digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit, bukan untuk ‘mewujudkan’ badan yang sasa.

Menurut Dr James Mossman, sebahagian lelaki mengambil Steroid sebagai jalan pintas untuk membina badan menjadi lebih menarik dan berotot dengan kadar yang segera. Sebenarnya, Steroid ini mempunyai risiko berbahaya yang ramai tidak tahu dan salah satunya ialah menjejaskan kesuburan lelaki.

Dr James berkata semasa temubualnya bersama BBC News, para saintis telah menemui evolusi paradoks di mana golongan lelaki telah merosakkan keupayaan zuriat hanya disebabkan oleh pengambilan Steroid. Perkara ini berlaku disebabkan oleh pengambilan Steroid yang berlebihan dan tidak terkawal. Hal ini boleh menjejaskan sperma di dalam air mani lelaki sekali gus merosakkan kualiti dan kuantitinya.

Menurut anggaran Institusi Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan, separuh daripada kesemua pengguna lelaki yang menggunakan Steroid telah mengalami masalah pengeluaran sperma mereka.

Namun begitu, ianya boleh dipulihkan dengan sendirinya apabila pengguna Steroid berhenti mengambil ‘barang’ tersebut. Tetapi, ianya juga mengambil masa yang agak lama seperti berbulan mahupun bertahun untuk kembali normal.

Pengambilan Steroid juga mempunyai kesan buruk lain seperti tekanan darah tinggi, tingkah laku agresif dan jerawat mudah naik.

Anda pasti ingin mengambil Steroid sebagai jalan mudah untuk menjadi ‘sado’? Fikirlah semasak-masaknya.

Sumber: hellodoktor

Akhmar Ikmal