Siakap Keli

Program Kesukarelawanan Mengajar Remaja New Zealand Mengaji Al-Quran Secara Maya di Atas Talian Melalui Aplikasi Google Meet

Pemerkasaan al-Quran dalam kalangan remaja adalah isu yang amat penting untuk diketengahkan dalam melahirkan modal insan yang beramal dan mengaplikasikan al-Quran dalam kehidupan seharian mereka. Justeru, Kelab Huffaz UPM mengambil inisiatif untuk bersama-sama menghidupkan suasana menghafal al-Quran di UPM berfokuskan untuk melahirkan huffaz professional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kelab Huffaz UPM yang telah dilancarkan pada 30 Mei 2019 yang lalu itu dan telah dirasmikan oleh YBhg Prof. Dr. M. Iqbal bin Saripan, Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), UPM.

Bermula bulan Julai 2021 yang lalu, Kelab Huffaz UPM dengan kerjasama Annur Quranic Centre, MyFundAction, Muslim Youth Development Centre dan Lower Hutt Islamic Centre telah mengadakan sebuah program tahsin al-Quran mingguan antarabangsa iaitu Tea Time Noorishment yang melibatkan gabungan peserta dari Malaysia dan New Zealand. Program ini berjalan selama 45 minit, bermula pukul 2.30 petang waktu Malaysia bersamaan dengan pukul 7.30 malam waktu New Zealand. Para peserta yang menjadi guru al-Quran secara sukarela untuk program ini terdiri daripada gabungan mahasiswa beberapa institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia antaranya ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kolej Matrikulasi dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS).

Program Tea Time Noorishment ini dianggap unik kerana menggunakan konsep kesukarelawanan untuk mengajar al-Quran, iaitu para peserta atau sukarelawan dari Malaysia akan menjadi guru mengaji al-Quran kepada pelajar di negara lain iaitu para belia New Zealand. Setakat ini, sasaran pelajar dari sana ialah para belia Lower Hutt yang merupakan sebuah bandar di bahagian North Island, New Zealand. Sesi pengajaran al-Quran antara para sukarelawan Malaysia dengan para pelajar New Zealand tersebut berlaku secara atas talian, dengan menggunakan aplikasi Google Meet sebagai medium perhubungan dan komunikasi utama.

Pendekatan unik ini bertepatan dengan konsep ‘rahmatan lil alamin’ yang telah dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran melalui ayat 107, Surah al-Anbiya’ yang bermaksud: “Tidaklah Kami mengutuskan kamu wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam”. Ayat ini memberi isyarat bahawa Nabi Muhammad SAW diutus untuk membawa mesej rahmat meliputi semua makhluk, manusia, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lainnya. Oleh itu, program ini secara tidak langsung menggalakkan penyebaran ilmu merentas benua, tidak mengira bangsa, menggunakan teknologi terkini yang sedia ada dan menjadi rahmat kepada semua.

Program antarabangsa ini serba sedikit memberi pengalaman kepada para sukarelawan Malaysia untuk merasakan bagaimana cara untuk mengajar al-Quran kepada para pelajar di negara lain secara efektif menggunakan Bahasa Inggeris selaku bahasa perantaraan, selain mewujudkan perasaan kasih sayang sesama umat Islam tidak kira tempat.

 Semoga dengan penganjuran program Tea Time Noorishment ini berjaya memberi manfaat kepada semua peserta yang terlibat dan seterusnya membentuk mereka menjadi ejen yang mengubah diri dan orang lain untuk berusaha mencapai kejayaan hidup, baik di dunia dan juga di akhirat. Semoga penganjuran program seperti ini mendapat sokongan baik daripada pihak institusi untuk masa ke depan nanti.

Siti Fatimah