KUALA LUMPUR, 14 Oktober 2021- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama rakan strategik menganjurkan program Semarak Cinta Rasul Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 1443H/2021M, bermula 9 Oktober sehingga 3 November 2021 dengan lebih 40 pengisian menarik dan bermanfaat bagi menyemarakkan kecintaan kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
Acara kemuncak iaitu Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 1443H/2021M akan diadakan pada 19 Oktober 2021 dengan pengisian Naratif al-Quran, jam 8.45 pagi, Penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul, jam 10.00 pagi, dan Wilayah Persekutuan Berselawat, selepas solat fardu Maghrib bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan dengan jumlah kehadiran terhad serta bersiaran langsung di facebook rasmi JAWI. Selain itu, aktiviti yang diadakan sempena program Semarak Cinta Rasul adalah seperti 6 siri Forum Maulidur Rasul bermula 20 Oktober sehingga 1 November 2021 jam 8.45 malam, Semarak Cinta Rasul bersama OKU dan ‘Komuniti Disayangi’, Kuiz Maulidur Rasul, Konti Radio JAWI Istimewa Maulidur Rasul, Majlis Maulid dan Selawat, Ibrah dan Tausiah, Diskusi Kekeluargaan Islam, JAWI Prihatin, Sumbangan Dapur It’am, Pelancaran Sukarelawan Masjid, Seminar Tadabbur Al-Quran, Kembara Kasih Mualaf, dan pelbagai lagi.
Program Semarak Cinta Rasul yang bertemakan ‘Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti’ pada tahun ini turut menampilkan tokoh-tokoh yang berwibawa dan memberikan inspirasi dalam pembangunan syiar Islam di Wilayah Persekutuan melalui Penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul yang akan disempurnakan oleh YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Antara anugerah yang bakal diumumkan adalah Anugerah Tokoh Utama dan Anugerah Khas Individu, Anugerah Khas Organisasi Kategori Masjid, Surau, Sekolah Rendah Agama (SRA), Institut Pendidikan Islam Swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
6 siri Forum Maulidur Rasul yang dianjurkan melalui 9 buah pusat zon masjid di Wilayah-Wilayah Persekutuan pula bakal menampilkan ahli panel dalam kalangan pendakwah terkenal tanah air dan luar negara seperti Habib Ali Zaenal Abidin, Ustaz Abdul Somad, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, Dr. Ayman al-Akiti dan ramai lagi yang akan membicarakan pelbagai topik menarik bertemakan Cinta Rasul.
Semua pengisian sempena program Semarak Cinta Rasul dianjurkan bagi mengajak umat Islam menghayati dan meneladani sirah Nabi Muhammad SAW dalam aspek kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara. Penghayatan terhadap contoh dan teladan tersebut dalam kalangan masyarakat adalah penting bagi merealisasikan agenda ‘Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera’ yang diimpikan.
Penganjuran program Semarak Cinta Rasul menyasarkan penyertaan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan secara fizikal dan maya melalui facebook rasmi JAWI.