New Zealand dilaporkan telah memecat ‘tukang sihir’, Ian Brackenbury Channell, selepas tular mengenai komennya terhadap isu memukul wanita.
Menurut New York Post, gaji yang diperolehi oleh Channell sejak dia berkhidmat dengan kerajaan adalah sekitar AUD 16,000 (RM49,349) setiap tahun. Tugasnya adalah melakukan ‘persembahan magik’ untuk membantu mempromosikan Christchurch.
Berkhidmat sejak tahun 1998, Channell mendakwa bahawa dia telah dipecat kerana mencetuskan ‘provokasi’.
“Mereka golongan birokrat yang tidak mempunyai imaginasi, mereka tidak memikirkan cara untuk mempromosikan Christchurch ke luar negara,” kata Channell.

Namun, bandar itu dilaporkan telah mengakhiri kontraknya untuk membolehkan mereka menggunakan cara yang moden untuk memajukan pelancongan.
Difahamkan, Channell telah membuat beberapa kenyataan sensitif tentang wanita pada bulan April lalu di sebuah rancangan komedi, yang juga turut menjadi punca pemecatannya.
Sementara itu, Jurucakap Majlis Lynn McClelland mendedahkan bahawa mereka mengirim surat terima kasih kepada Channell kerana perkhidmatannya selama ini dan memberitahu bahawa mereka mengakhiri kontraknya.
Channell telah tiba di New Zealand pada tahun 1976 dan diminta untuk melakukan persembahan pada tahun 1990 oleh Perdana Menteri Mike Moore.
Sumber: New York Post