Siakap Keli

Jumlah Kenderaan Guna Jambatan P.Pinang Meningkat 90 Peratus

GEORGE TOWN, 16 Okt (Bernama) — Jumlah kenderaan yang menggunakan Jambatan Pulau Pinang meningkat lebih 90 peratus sejak kebenaran merentas negeri diumumkan Isnin lepas.

Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (PLUS) Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata kira-kira 61,000 kenderaan sehari direkodkan menyeberangi jambatan tersebut dan jumlah itu dijangka terus bertambah hujung minggu ini.

“Kami menjangkakan jumlah kenderaan bertambah pada hari kemuncak iaitu hari ini dan hujung minggu, memandangkan cuti hujung minggu yang panjang kerana terdapat cuti umum Maulidur Rasul pada Selasa ini.

“PLUS juga sentiasa bersedia untuk menguruskan pertambahan kenderaan (di Jambatan Pulau Pinang) dan apa yang penting kami menasihatkan pengguna lebuh raya PLUS sentiasa menyemak baki kad Touch n Go (TnG) mereka supaya cukup serta tidak berdepan masalah ketika di plaza tol,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, katanya kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya itu kini dibuka kepada pengguna jalan raya dan mereka yang lengkap dos vaksin boleh menjamu selera di dalam restoran (dine-in) di situ.

Syed Mohammed Idid berkata pihaknya juga menggalakkan pengguna jalan raya menggunakan aplikasi PLUS bagi memantau aliran trafik dan merancang perjalanan, selain mengikuti laman sosial Twitter PLUS untuk status terkini keadaan lebuh raya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang K.Raj Kumar berkata tempahan hotel di negeri ini meningkat sehingga 80 peratus pada hujung minggu ini selepas pengumuman kebenaran merentas negeri.

“Pada hari biasa, tempahan bilik di kebanyakan hotel di Pulau Pinang mencapai 50 peratus dan meningkat ke 80 peratus pada hujung minggu ini.

“Kita berharap agar orang ramai terus berminat untuk melancong bagi membantu industri perhotelan bangkit semula,” katanya ketika dihubungi dan menambah hotel-hotel di pulau ini terutama yang terletak di pantai mula sibuk membuat persiapan menerima pelancong.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.