Siakap Keli
Gambar: Bernama

Harga Lantai Umrah 12 Hari 10 Malam Ditetapkan RM6,900 – MOTAC

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) — Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai RM6,900 kepada syarikat pengendali umrah berlesen untuk mengerjakan umrah bagi 12 hari 10 malam.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu dibuat selaras dengan perkembangan semasa iaitu peningkatan kos mengerjakan umrah memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pihak Arab Saudi dan pihak kerajaan Malaysia.

“Harga lantai akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal dengan kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan oleh pihak kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Harga ini juga merupakan panduan bagi pihak kementerian dalam melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan dalam memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOTAC antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus daripada jumlah kapasiti sebenar dan pengurusan mutawif serta ujian calitan COVID-19.

Kenyataan itu memaklumkan MOTAC telah berbincang bersama persatuan-persatuan terlibat bagi menetapkan harga lantai umrah dengan penetapan kali terakhir harga adalah pada 2017 dengan paras RM4,900.

MOTAC sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sekiranya mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan pakej umrah dan menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman sesawang rasmi kementerian untuk mengenal pasti syarikat-syarikat dilesenkan.

Menurut kenyataan itu, sebagai inisiatif menangani kes-kes penipuan pakej umrah, kementerian itu turut mewajibkan mana-mana syarikat pengendali umrah berlesen untuk memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Perkara itu selaras Peraturan 6(1A)(a) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang menyatakan ‘pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan’.

“Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan Nombor Siri Khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan-iklan yang akan dipromosi. Ini bertujuan untuk membantu kementerian mengenal pasti iklan-iklan haram pakej umrah,” menurut kenyataan itu dengan menambah sehingga kini MOTAC telah menerima 31 permohonan iklan.

Borang permohonan iklan pakej umrah boleh dimuat turun daripada laman sesawang rasmi kementerian di www.motac.gov.my.

MOTAC memaklumkan berdasarkan sesi libat urus dengan persatuan pengendali umrah, persatuan terlibat memahami dan menyokong inisiatif yang dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia serta pemain industri umrah itu sendiri.

Sumber: BERNAMA

" "