Siakap Keli
Gambar Hiasan via Bernama

Lebih 32,000 Kenderaan Masuk Kelantan Sejak Khamis Hingga Semalam

KOTA BHARU, 17 Okt (Bernama) — Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata lebih 32,000 kenderaan dikesan memasuki negeri itu sejak 14 Okt hingga semalam.

Beliau berkata jumlah kemasukan itu melibatkan laluan di pintu masuk utama Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh dengan kebanyakan mereka adalah perantau yang pulang ke kampung serta pelancong domestik.

Shafien juga tidak menolak kemungkinan bahawa jumlah kemasukan kenderaan ke Kelantan dijangka meningkat menjelang cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul Selasa ini susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi individu yang lengkap vaksinasi COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata polis melalui 154 pasukan akan sentiasa melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung jangkitan COVID-19 terutama di kawasan tumpuan.

“Di sekitar pusat bandar Kota Bharu, kita dapati berlaku pertambahan kenderaan tetapi tidak begitu sesak kerana kemungkinan mereka mengikut jadual perjalanan masing-masing dan keadaan itu akan sentiasa dipantau pasukan yang ditubuhkan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafien berkata pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku pelanggaran SOP oleh mana-mana individu meskipun Kelantan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara mulai esok.

— BERNAMA

Eyla Azri