Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang diadakan sempena hari kelahiran baginda Rasulullah SAW. Sambutan ini bertujuan untuk melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW dan disambut umat Islam setiap 12 Rabiul Awal tahun hijrah.
Pada hari mulia yang bakal disambut esok, terdapat beberapa amalan yang boleh dilakukan sebagai tanda memperingati hari kelahiran Baginda. Antara amalan yang boleh untuk dilakukan adalah berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:
“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.
(Riwayat Muslim)
Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari ini, sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW.
Berselawat juga antara amalan yang digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Nabi adalah amalan baik lagi mulia.
Perbuatan berhimpun di masjid atau di surau, di samping dapat solat fardu berjemaah. Demikian juga amalan berzanji yang dimaklumi mengandungi pujian tertinggi kepada Nabi Muhammad SAW dan diikuti dengan selawat kepada baginda tidak dapat dinafikan mengandungi banyak kebaikan di dalamnya. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah S.W.T berselawat ke atasnya 10 kali”
(Riwayat Muslim dan Abu Daud)
Perkara-perkara yang dinyatakan di atas adalah antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah. Selamat menyambut Maulidur Rasul kepada semua umat Islam di seluruh dunia.
Sumber: MAIS