Siakap Keli
Gambar: OddityCentral via Meet Konkani/Unsplash

Lelaki Dilapor Sewa Ular Tedung Untuk Bunuh Isterinya Sendiri & Berkahwin Dengan Wanita Lain

Sekiranya bercerita tentang ular tedung, sudah pasti terlintas di dalam fikiran bahawa haiwan ini berbahaya dan boleh membawa maut. Disebabkan itu, ramai yang cuba untuk mengelak daripada ‘bertemu’ dengan ‘pembunuh’ ini.

Tetapi lain pula bagi seorang lelaki ini yang didapati bersalah membunuh isterinya dengan menyewa ular tedung.

Lelaki tersebut dikatakan telah menggunakan taktik ini untuk menjadikan kematian isterinya itu seolah-olah seperti kemalangan yang tidak dijangka, tulis Oddity Central.

Lebih mengejutkan lagi, lelaki tersebut dilaporkan bertindak sedemikian kerana ingin memiliki barang kemas milik isterinya dan ingin mengahwini wanita lain.

Jenayah ini dilaporkan berlaku pada Mei 2020, dan telah mengambil masa setahun untuk menjalankan siasatan dan pengumpulan bukti.

Pendakwa raya melaporkan, bahawa Mac 2020, cubaan membunuh pertama telah dilakukan oleh lelaki tersebut, tetapi isterinya masih hidup. Pada tahun yang sama juga, lelaki tersebut telah melakukan cubaan membunuh kali kedua, dan pada masa itu isterinya masih dalam fasa baikpulih daripada gigitan ular pertama Mac lalu.

Dilaporkan juga, semasa cubaan pembunuhan kali kedua ini, lelaki tersebut telah memasukkan pil tidur dalam minuman isterinya itu sebelum melepaskan ular berbisa itu. Lebih kejam lagi apabila lelaki tersebut dikatakan cuba untuk memastikan ular tersebut untuk mematuk isterinya sebanyak dua kali.

Keesokan pagi selepas pembunuhan berlaku lelaki tersebut pura-pura terkejut setelah menemui mayat isterinya. Keluarga isterinya itu telah membuat aduan kepada pihak berkuasa mengenai hal ini. Siasatan telah dilakukan dan lelaki tersebut telah terbukti bersalah.

Jika bukan disebabkan keluarga isterinya, lelaki tersebut sudah pasti akan terlepas daripada tuduhan membunuh.

Sumber: Twitter OddityCentral

Nadhirah