Siakap Keli
Kredit: Narayana Health

Tiba-tiba Rasa Berdebar & Jantung Berdegup Laju Tanpa Sebab? 4 Penyakit Ini Mungkin Puncanya

Pernah tak korang mengalami jantung berdegup dengan laju? Selalu orang cakap jantung berdegup laju ni disebabkan oleh tiroid. Ada juga yang kata ia berpunca daripada terlebih ambil kaffein. Ramai yang tak tahu sebab mengapa jantung mereka berdegup laju.

Jantung merupakan organ yang terpenting dalam badan manusia dan saiznya adalah sebesar kepalan tangan. Fungsinya adalah untuk mengepam darah dengan mengangkut oksigen dalam tubuh badan manusia. Jadi, macam mana jantung boleh berdegup dengan laju? Oleh itu, perkongsian di bawah akan menerangkan empat jenis penyakit yang menyebabkan jantung boleh berdegup laju

Bagi mereka yang sering mengalami masalah jantung berdebar tanpa sebab atau berdegup laju, pasti anda tertanya-tanya, kenapa ia berlaku? Mengapa saya alami masalah ini dan adakah ia merupakan sesuatu yang serius?

Pertama sekali, kondisi yang dikenali sebagai aritmia jantung ini selalunya bukanlah tanda sesuatu yang serius.

Ada banyak perkara yang boleh menyebabkan jantung berdebar tanpa sebab. Sebagai contoh, pengambilan terlalu banyak kopi dan stres boleh menyebabkan jantung anda berdegup laju.

Walau bagaimanapun, jika anda mengalami masalah ini dalam satu jangka masa yang panjang, anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

Kenapa jantung saya berdegup laju?

Untuk pengetahuan anda, ada 4 penyakit yang mungkin menjadi punca aritmia jantung yang anda alami.

1. Jantung berdebar tanpa sebab kerana penyakit arteri koronari

Gambar : Hellodoktor

Saluran darah merupakan jalan raya bagi oksigen dan juga nutrien.

Walau bagaimanapun, lemak, kolesterol dan kalsium boleh berkumpul dan membentuk plak pada kawasan arteri serta bertindak menghalang pengaliran darah, lalu menyebabkan penyakit arteri koronari.

Plak ini akan menyebabkan darah sukar untuk mengalir. Malah, kondisi ini boleh menyukarkan jantung untuk berfungsi dengan baik.

Menurut Dr. Pugazhendhi Vijayaraman dari Geisinger Northeast, penyakit arteri koronari boleh menyebabkan jantung berdebar tanpa sebab atau berdegup laju.

Apabila jantung mengalami kesukaran untuk mengepam darah, ia akan jadi semakin lemah dan menyebabkan aritmia.

Penyakit arteri koronari boleh menyebabkan aritmia yang berbahaya seperti fibrilasi atrium (AFib atau AF).

AFib merupakan satu kondisi yang menyebabkan jantung berdegup dengan pantas dan boleh menyebabkan palpitasi jantung, darah beku, serangan jantung dan strok.

2. Aritmia disebabkan pembedahan jantung

Pembedahan jantung merupakan satu prosedur yang boleh menyelamatkan nyawa. Ia boleh mengeluarkan darah beku daripada jantung dan membantu pesakit untuk hidup dengan normal semula.

Walau bagaimanapun, pembedahan jantung boleh mengubah cara jantung anda berfungsi termasuklah cara ia berdegup.

Pembedahan jantung boleh meningkatkan risiko aritmia jantung. Oleh sebab itu, doktor akan kekal memantau jantung anda selepas pembedahan.

3. Perubahan pada otot jantung

Gambar : Hellodoktor

Jika anda pernah mengalami sakit jantung, anda mungkin akan mempunyai tisu parut pada otot jantung anda. Tisu parut ini akan menyebabkan jantung berdegup secara tidak normal.

Akibatnya, pesakit akan kerap mengalami masalah jantung berdegup laju atau berdebar tanpa sebab.

Selepas serangan jantung, pesakit mempunyai risiko untuk mengalami cardiomyopathy. Cardiomyopathy merupakan satu penyakit yang mempengaruhi otot pada kawasan jantung.

Penyakit ini akan membuatkan jantung anda mengembang dan sukar untuk mengepam darah. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan jantung dan aritmia.

4. Aritmia jantung disebabkan ketidakseimbangan elektrolit

Mungkin anda pernah dengar mengenai elektrolit di dalam minuman sukan. Elektrolit ini merupakan sesuatu yang lebih kurang sama, tetapi ia berkait rapat dengan jantung anda.

Menurut Dr. Vijayaraman, elektrolit merupakan logam kecil dan halus yang boleh mengalirkan elektrik dan membolehkan jantung untuk berdegup.

Sodium, magnesium dan potasium merupakan antara contoh elektrolit yang penting untuk badan.

Jika anda mempunyai terlalu banyak atau terlalu sedikit elektrolit, ia boleh mengubah cara jantung anda berdegup.

Bila anda perlu berjumpa doktor

Gambar : Hellodoktor

Walaupun masalah palpitasi jantung atau aritmia merupakan sesuatu yang normal, penyakit seperti AFib atau VFib merupakan sesuatu yang lebih serius dan boleh menyebabkan serangan jantung.

Jika anda kerap mengalami masalah jantung berdegup laju atau tanpa sebab, doktor boleh bantu melakukan diagnosis untuk mengetahui jenis aritmia yang anda alami.

Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika anda mengalami simptom seperti pening kepala, pengsan, sesak nafas dan sakit pada kawasan dada. Simptom ini mungkin merupakan tanda aritmia yang teruk dan sakit jantung.

Sama jugalah jika anda rasa kejang pada sebelah badan. Jika simptom ini diikuti dengan rasa keliru dan muka yang mula melorot ke bawah, ini merupakan tanda strok. Oleh sebab itu, anda perlu dapatkan khidmat doktor secepat mungkin.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber : Hellodoktor

Fathin Nadzira