Siakap Keli
Gambar : OddityCentral

Anak Letak Kunci Basikal Di Leher Ibu Tanpa Ingat ‘Password’ Untuk Membukanya, Tak Pasal-Pasal Cari Bomba

Seorang ibu di China baru-baru ini memasuki sebuah balai polis meminta bantuan untuk mengeluarkan kunci basikal di leher selepas anaknya memakaikan dan terlupa kod buka kunci tersebut.

Pada 7 Oktober lalu, seorang ibu muda telah memasuki balai polis di Huai’an, Provinsi Jiangsu, China dengan “choker” aneh di leher, iaitu sebuah alat pengunci basikal berwarna kelabu dan kuning. Wanita tersebut memberitahu pihak polis bahawa anaknya sedang bermain dengan kunci disebelahnya ketika dia sedang membersihkan bilik mandi.

Secara tiba-tiba, anaknya terus memakaikan kunci tersebut ke lehernya  dan menguncinya. Pada mulanya, dia hanya menganggap itu sebuah jenaka dan mengetahui kod buka kunci itu. Malangnya, dia tidak tahu yang anaknya telah mengubah kod dan tidak ada sesiapa yang tahu kombinasi kod tersebut.

“Saya sedang bersihkan tandas dan anak saya sedang bermain dengan kunci itu di sebelah saya.” terang wanita itu.

“Dia tiba-tiba meletakkan kunci basikal itu di leher saya dan menguncinya. Saya tidak dapat membukanya dengan kod yang telah ditetapkan dan saya tidak tahu berapa kali dia sudah mengubahnya. Terus saya panik,” kata wanita itu lagi.

Beberapa anggota polis memeriksa kunci tersebut dan tidak dapat membantu wanita itu. Jadi, mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada anggota bomba tempatan. Mereka telah meletakkan tuala kecil antara kunci basikal dan leher wanita itu dahulu sebelum memotongnya dengan dua pasang pemotong kawat.

Selepas kunci basikal berjaya dipotong, wanita itu menghela nafas lega, pihak bomba mengatakan kepadanya, “Anda harus bawa anak anda ke sini, kami akan bantu mendidiknya”. Dia sempat memberitahu bahawa dia sudah menghukum anaknya yang nakal itu dan dia sedang tidur di rumah.

Rakaman video mengenai kisah wanita itu sudah viral di media sosial China. Ramai warganet meninggalkan komen mengenai perlunya batasan ditetapkan oleh ibu bapa untuk mengelakkan situasi ini berlaku lagi.

Sumber : OddityCentral

Fathin Nadzira