Seorang lelaki warga Singapura tergamak memperkosa anak kandungnya sendiri yang ketika itu baru berusia 11 tahun selepas mendapat ‘nasihat’ dari seorang kononnya pakar feng shui.
Menurut The Straits Times, lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai ini disuruh pakar berkenaan untuk mengadakan hubungan seks dengan seorang perempuan yang masih dara sekiranya tidak mahu perkara buruk terjadi ke atas dirinya.
Pun begitu, pakar tersebut menawarkan bantuan untuk mendapatkan seorang anak dara jika pelaku setuju membayar sebanyak RM2,000. Namun pelaku mengambil keputusan melakukan perbuatan keji tersebut dengan anak perempuan kandungnya.
Lelaki berusia 50 tahun itu mengaku bersalah atas tuduhan pemerkosaan dan serangan seksual serta dijatuhi hukuman penjara 23 tahun pada Isnin, 18 Oktober. Tujuh tuduhan lain, termasuk enam tuduhan mencabul turut dipertimbangkan atas kesalahan yang dilakukan lelaki tersebut di antara bulan Oktober dan Disember 2018.
Oleh kerana usia pelaku yang tidak memungkinkan untuk menjalani hukuman sebat, hukuman tersebut diganti dengan tambahan tempoh tahanan penjara.
Memetik laporan The Straits Times, lelaki separuh baya itu tinggal bersama isteri, seorang anak lelaki dan dua anak perempuan di sebuah flat empat bilik.
Anak lelaki pelaku dikatakan tidur di sebuah bilik bersendirian, manakala dua anak perempuannya tidur bersama ibu dan bapa (pelaku) mereka di dua buah bilik yang berasingan.
Menurut portal tersebut, kejadian itu berlaku pada malam di mana mangsa tidur bersama pelaku di bilik utama. Pelaku telah mencabul mangsa sekitar Oktober hingga Disember 2018 dan memberitahunya agar tidak mengadu kepada sesiapa.
Selepas perlakuan keji tersebut dilakukan ke atas mangsa, mangsa dikatakan mengelak daripada tidur bersama ayahnya. Pun begitu, pelaku berjaya mencari ruang untuk memperkosa anaknya di siang hari ketika isteri dan anak perempuannya yang lebih tua tiada di rumah.
Menurut The Straits Times, mangsa hanya menceritakan kejadian tersebut pada 28 Ogos 2019 kepada gurunya selepas dia tertangkap merokok dan minum minuman keras di sekolah.
Sumber: The Straits Time