Siakap Keli

Banyak Aktiviti Perlu Guna Aplikasi, Jemaah Umrah Perlu ‘Mahir’ Guna Telefon Bimbit

Terdapat pelbagai syarat yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang berhasrat untuk mengerjakan umrah terutamanya pada ‘zaman’ penyakit Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada masa kini. Kegagalan mematuhi syarat tersebut mungkin akan menyukarkan segala urusan dan perjalanan mengerjakan ibadah suci ini.

Pada dunia yang semakin maju kini, semakin bertambah syarat baru untuk mengerjakan umrah sama ada secara bertulis mahupun tidak. Terbaharu, kemahiran menggunakan telefon pintar telah menjadi ‘syarat’ penting bakal jemaah sebagai persediaan untuk pergi menunaikan umrah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali, syarat baru ini telah dibuat kerana hampir setiap pergerakan di Mekah memerlukan para jemaah menggunakan beberapa aplikasi untuk mendaftar masuk di setiap lokasi.

“Pada kali ini, terdapat banyak aktiviti di sana yang memerlukan penggunaan aplikasi. Paling tidak pun, para jumaah haruslah mempunyai peranti telefon pintar sendiri.” kata Datuk Ahmad.

“Dari segi penggunaan telefon pintar ini pula, sekiranya seseorang itu tidak tahu menggunakan telefon, mereka mungkin perlu merujuk kepada sesiapa yang lebih muda atau lebih tahu. Hal ini kerana beberapa tempat haruslah menggunakan telefon bimbit untuk memasukinya. Sebagai contoh, semasa aktiviti tawaf dan solat lima waktu, semua jemaah perlu menunjukkan permit serta kad vaksinasi pada telefon masing-masing.” tambahnya lagi.

Beliau juga mengingatkan masyarakat di luar sana agar memilih ejen pelancongan yang mempunyai lesen dan berdaftar dengan pihak berwajib. Hal ini bagi mengelakkan diri daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Terdapat beribu ejen pelancongan di luar sana tetapi yang melesenkan umrah tidak terlalu banyak. Oleh itu, pilihlah ejen pelancongan yang ada lesen umrah. Selain itu, kita juga perlu lihat kepada penerbangan terus kerana travel bubble (gelembung perjalanan) ini tidak boleh ada penerbangan transit di mana-mana.” ujar Datuk Ahmad lagi.

Datuk Ahmad juga menasihati orang ramai agar menangguhkan hasrat suci mereka untuk menunaikan umrah jika tidak bersedia dan tidak mahu berdepan dengan pelbagai syarat SOP yang ketat. Hal ini dikatkan demikian kerana SOP ini pasti akan dilonggarkan pada masa hadapan.

“Lebih baik tunggu dulu sebentar dan tengok keadaan jika tidak bersedia atas apa jua alasan. Saya yakin keadaan pasti akan bertambah baik pada masa akan datang. Cuma pergi awal ini bagus kerana jemaah tidak terlalu ramai. Jadi, agak lapang sedikit tempat untuk kita bertawaf kerana lebih luas dan selesa.

”Namun begitu, tidak bagusnya adalah mungkin terdapat beberapa peraturan ketat yang perlu dipatuhi oleh semua jemaah.” ujar Datuk Ahmad.

Sumber: Astro Awani

Akhmar Ikmal