Siakap Keli

Asal Usul Mak Yong Dan Singkap Kisah Tarian Ini Yang Pernah Diharamkan Hampir 30 Tahun Di Kelantan

Makyong (atau Mak Yong atau Makyung) merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang sudah lama bertapak di beberapa kawasan Asia Tenggara termasuklah Thailand, Indonesia dan Malaysia. Bahkan dalam kalangan penduduk Malaysia, Tarian Mak Yong ini sudah cukup terkenal dan tidak asing lagi, terutamanya bagi penduduk di negeri Kelantan. Menurut Kamus Dewan, “Mak Yong” adalah sandiwara yang mempertunjukkan cerita yang digabungkan dengan tarian dan nyanyian sekaligus (Dr. Teuku Iskandar, 1998:791).  Ia merupakan satu kombinasi dengan unsur-unsur penting seperti ritual, lakonan, tarian yang digayakan, muzik, vokal, instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Sementara itu, Zaiton (1991:5) dalam tulisannya “Mempertahankan Mak Yong” menegaskan bahawa Mak Yong sebenarnya adalah tarian sambil berlakon.  Mak Yong merupakan tarian Melayu yang begitu unik dan halus sifatnya. Pelakonnya terdiri daripada gadis-gadis muda dan jelita yang mengambil semua peranan lelaki dan perempuan kecuali watak-watak komedi atau ‘peran’. Lahirnya keadaan begini kerana Mak Yong merupakan hiburan bagi permaisuri-permaisuri dan puteri-puteri raja. Oleh kerana bimbang  mereka ini akan jatuh hati kepada pelakon-pelakon Mak Yong semasa raja atau pembesar-pembesar meninggalkan istana untuk menjaga keselamatan negeri dan lain-Iain tugas di luar istana, maka pelakonnya terdiri daripada perempuan belaka.

Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik sehingga kini.

Pencapaian yang paling membanggakan dalam Tarian Mak Yong ini adalah apabila ia merupakan satu-satunya kesenian rakyat Malaysia yang mendapat pengiktirafan daripada UNESCO sebagai seni warisan Negara (World Cult1lral Heritage – Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage ofHumanity) pada 25 November 2005 (Ridzuan Abd ul Rahman (2015).

Kredit: Line Today

Sejarah Tarian Mak Yong di Kelantan

Mak yong diasaskan di Kerajaan Pattani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dikalangan kampung, usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, fakta yang ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain.

Umum mengetahui bahawa perkumpulan awal Mak Yong kebanyakannya berpusat di negeri Kelantan. Sehubungan dengan itu, dalam satu masa, boleh dianggangarkan terdapat hampir 30 perkumpulan Mak Yong telah beroperasi di seluruh negeri Kelantan semasa zaman kegemilangannya iaitu kira-kira pada tahun 1926 sehinggalah sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1942. Daripada analisis lokasi perkumpulan Mak Yong, baik di sekitar tahun 1920-an sehinggalah kepada tahun 1970-an, perkumpulan yang paling banyak bagi Mak Yong ialah dari daerah Kota Bharu dan diikuti dengan daerah-daerah kecil yang berhampiran dengannya seperti yang telah dinyatakan iaitu di Tumpat, Pasir Mas, Bachok dan beberapa buah kawasan lain lagi.

Kredit: Projek Press

Zaman Kampung Temenggung (1930an)
Tokoh-tokoh dramatari Mak Yong berpendapat bahawa zaman kegemilangan dramatari Mak Yong bermula pada tahun 1930-an hingga 1940-an. Pada waktu ini pelbagai kumpulan dramatari Mak Yong yang muncul telah merancakkan persembahan drama tari Mak Yong ketika itu. Sokongan padu yang diterima dari Tengku Temenggung atau Long Abdul Ghaffar ibni Sultan Muhammad 11 (1879-1935) juga turut membantu dalam penambahbaikan mutu persembahan kumpulan dramatari Mak Yong ketika itu. Inisiatif Tengku Temenggung yang terkenal alim dan berpengetahuan dalam urusan-urusan agama turut membantu perkembangan dramatari Makyong ketika itu.

Tengku Temenggung telah mengumpulkan kumpulan-kumpulan di satu penempatan yang dikenali sebagai Kampung Temenggung bagi menjaga mutu persembahan anak-anak Mak Yong dari pelbagai kumpulan Mak Yong yang wujud ketika itu. Inisiatif baginda telah meningkatkan lagi mutu persembahan dramatari Makyong apabila ahli-ahli kumpulan Makyong dapat menjalani latihan untuk pementasan secara bersungguh-sungguh. Ini ditambah pula dengan sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Tengku Temenggung yang turut menjaga dan mengambil berat masalah setiap anggota kumpulan Makyong.

Selain dari mempunyai kepakaran dalam drama tari Mak Yong, Tengku Temenggung juga merupakan seorang yang alim. Justeru itu, di samping terlibat dalam dramatari Mak Yong, anak-anak Mak Yong atau sesiapa yang terlibat dengan pementasan dramatari Makyong diwajibkan menuntut ilmu-ilmu agama yang diadakan di Masjid Muhammadi serta di pondok – pondok pengajian agama yang terdapat di sekitar Perkampungan Tengku Temenggung (perkampungan anak-anak Makyong ketika itu) di Kota Bharu.

Inisiatif yang telah diambil oleh Tengku Temenggung untuk menubuhkan Tribunal Diraja yang berfungsi memantau aktiviti persembahan dramatari Makyong yang ada pada ketika itu turut menyumbang kepada peningkatan permintaan terhadap hiburan dramatari tersebut. Antara tujuan Tribunal Diraja ditubuhkan ialah:

i. Untuk memantau aktiviti drama tari Mak Yong agar ianya tidak dicemari dengan kegiatan yang bertentangan dengan agama Islam.
ii. Untuk menguji kemahiran dan pengalaman ketua kumpulan drama tari Mak Yong agar mutu persembahan kumpulan –kumpulan Makyong terpelihara.
iii. Untuk memastikan semua pihak yang terlibat dengan drama tari Mak Yong mendapat hak atau ganjaran yang setimpal dengan sumbangan mereka.

Pengenalan Tribunal Diraja ini merupakan titik tolak penetapan garis panduan bagi skim bayaran kepada pemain-pemain yang terlibat dalam persembahan drama tari Mak Yong.

Zaman penjajahan Jepun dan British (1940-an hingga 1950an)
Zaman ini merujuk kepada frasa masa kemasukan tentera Jepun ke Kelantan pada 8 Disember 1941 di Pantai Sabak, Kota Bharu. Frasa ini juga merangkumi frasa selepas perang Dunia Kedua pada tahun 1945 apabila tentera Jepun menyerah kalah dan kedatangan British ke Kelantan. Zaman ini juga dirujuk sebagai zaman kegawatan dalam perkembangan drama tari Mak Yong. Kegawatan ekonomi yang berlaku pada ketika ini bukan hanya kepada golongan pemerintah tetapi juga melibatkan rakyat jelata ternyata telah merencat perkembangan Mak Yong.

Kemangkatan Tengku Temenggung yang merupakan tonggak atau penaung kepada aktiviti dramatari Mak Yong di istana juga merupakan pengakhiran kepada drama tari Mak Yong sebagai satu dramatari elit yang persembahannya hanya boleh didapati di istana sahaja. Tradisi pengawalan kesenian drama tari Mak Yong di istana lenyap dengan kemangkatan Tengku Temenggung pada tahun 1935 di selatan Thailand. Anak-anak Makyong yang dahulunya dikawal selia oleh pihak istana terpaksa bergerak sendiriuntuk “survival” ekonomi mereka.

Kumpulan-kumpulan drama tari Mak Yong mula ditubuhkan oleh pasangan suami isteri yang dulunya sama-sama bergiat secara aktif dalam kumpulan dramatari Makyong di istana. Pada frasa ini persembahan drama tari Mak Yong mula keluar dari istana dan dipersembahkan di kampung-kampung. Kumpulan – kumpulan Makyong bergerak secara sendiri (dengan menggunakan perbelanjaan sendiri) tanpa seliaan dari golongan pemerintah sebagaimana sebelumnya.

Persembahan drama tari Mak Yong mula mengalami perubahan dan disesuaikan dari segi cerita, gerak tari dan lagu bagi memenuhi keperluan sasaran penonton yang terdiri daripada golongan rakyat jelata. Kemerosotan persembahan berlaku kerana rakyat jelata yang terdiri dari orang-orang kampung yang bekerja sebagai petani dan nelayan lebih berminat kepada gaya persembahan dan penceritaan drama tari Mak Yong yang lebih mudah mereka fahami. Justeru itu, gaya persembahan dan penceritaan drama tari Mak Yong berubah untuk memenuhi permintaan khalayak penonton.

Gaya persembahan dan penceritaan drama tari Mak Yong mula mengandungi unsur-unsur komedi rendah yang boleh membuatkan kalangan penonton ketawa dan terhibur dengan persembahan mereka. Tarian dan nyanyian dalam drama tari Mak Yong juga dipendekkan agar kalangan penonton yang terdiri dari golongan rakyat biasa tidak bosan. Oleh yang demikian, tempoh
persembahan cerita-cerita Mak Yong yang dahulunya mengambil antara masa empat hingga lima malam telah dipendekkan untuk memenuhi kehendak penonton.

Dari segi sosialnya pula, ketiadaan kawal selia terhadap anak-anak Mak Yong dalam kumpulan-kumpulan Mak Yong menyebabkan berlakunya keruntuhan moral di kalangan anak-anak Mak Yong. Kebebasan bersosial di kalangan anak-anak Mak Yong bukan hanya menyumbang kepada keruntuhan moral sahaja malahan ianya juga menyebabkan nilai-nilai agama Islam itu sendiri tergugat. Faktor ini juga menyebabkan Makyong kurang popular. Golongan muda kurang berminat untuk mempelajari Mak Yong atau sekiranya mereka berminat, golongan ibu bapa akan menghalang anak-anak mereka dari mempelajari atau bergiat dalam Mak Yong.

Zaman Kumpulan Seri Temenggung (tahun 1969)
Pada tahun 1969, sebuah kumpulan drama tari Mak Yong yang diberi nama Kumpulan Seri Temenggung telah ditubuhkan untuk memperjuang dan mengangkat kesenian tradisional ke tahap yang gemilang semula. Kumpulan Seri Temenggung telah dipelopori oleh Puan Khatijah Awang yang mendapat bimbingan daripada Cik Kemala, ibu mertua Puan Khatijah sendiri. Che Kemala Muhammad juga selaku guru dramatari Makyong Puan Khatijah yang paling utama, juga merupakan seorang anak Mak Yong yang terkenal di zaman Tengku Temenggung.

Puan Khatijah merancang kegiatan Kumpulan Seri Temenggung dengan teliti. Di bawah naungan penuh bekas Menteri Besar Kelantan , Tan Sri Datuk Nik Ahmad Kamil, juga selaku Yang Dipertua Dewan Negara, Kumpulan Seri Temenggung telah berjaya menubuhkan satu tabung khas untuk menjaga kebajikan ahlinya. Elaun bulanan dan kemudahan penginapan yang disediakan kepada ahli Kumpulan Seri Temenggung ini adalah bertujuan supaya ahli kumpulan ini boleh berlatih dan terlibat sepenuh masa dengan aktiviti mereka. Anjung rumah pasangan Khatijah Awang dan Zakaria Abdullah di Dusun Muda, Jalan Bayam, Kota Bharu telah dijadikan pusat aktiviti dan latihan mereka. Kumpulan Seri Temenggung juga berjaya melakukan persembahan di luar negara.

Antara negara yang dikunjungi untuk membuat persembahan adalah di Bonn, Jerman pada tahun 1980 dengan cerita temanya ‘Dewa Indera Indera Dewa, Mak Yong Ramayana di Indonesia pada tahun 1971, Anak Raja Tangkai Hati di Singapura pada tahun 1971. ‘The Last Makyong’ di Singapura pada tahun 1995, dan ‘Anak Raja Gondang’ juga di Singapura pada tahun 1996.

Puan Khatijah Awang Pernah Dinobatkan sebagai Seniman Negara Ke-4 – JKNN Pemetaan Budaya

Zaman selepas Primadona Khatijah Awang (2000 – 2016)
Pemergian primadona Makyong Khatijah Awang menemui Penciptanya pada 13 September 2000 merupakan satu kehilangan yang sangat besar kepada industri dramatari Makyong di Malaysia. Walaupun yang pergi tidak akan sama dengan pengganti, namun dramatari Makyong perlu diwariskan kepada pengganti untuk kesinambungan industri Mak Yong di Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Murid-murid Primadona Khatijah Awang sama ada yang menerima ilmu di Jalan Bayam, (Kota Bharu, Kelantan ) di Singapura atau di Akademi Seni Kebangsaan di Kuala Lumpur merupakan pengganti beliau untuk meneruskan kegemilangan dramatari Makyong.

Warisan Kumpulan Seri Temenggung diteruskan apabila anak-anak dan menantu primadona Khatijah Awang menggalas tanggungjawab meneruskan perjuangan bonda mereka secara menyumbang tenaga mereka sebagai guru atau pengajar dramatari Makyong di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan. Sumbangan itu dimulai oleh arwah Encik Shaari bin Zakaria (2006-2007), Puan Norhayati Zakaria (2007-2008), Puan Rohani Ahmad (2008-kini). Di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan ini mereka mengajar dan melatih golongan remaja sebagai pelapis untuk drama tari Mak Yong.

Para pelapis drama tari Mak Yong ini juga dibawa untuk mengadakan persembahan drama tari Mak Yong di Kelantan dan di luar Kelantan. Antara persembahan besar yang diadakan ialah Persembahan Jelajah Makyong 2012. Untuk persembahan ini, kumpulan Makyong di bawah kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan telah mengadakan persembahan dan bengkel berkenaan drama tari Mak Yong di universiti, kolej universiti dan pertubuhan bukan kerajaan di enam buah negeri di Malaysia iaitu di Sabah, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Pahang.

Persembahan drama tari Mak Yong kemudiannya dipersembahkan untuk tontonan rakyat jelata selepas kemangkatan Tengku Temenggung di selatan Thailand, selepas pemerintahan Jepun dan semasa pemerintahan British dengan dikenakan bayaran . Pementasan drama tari Mak Yong di kampung-kampung pula dilakukan di atas panggung Mak Yong yang dibina beberapa meter dari atas tanah. Panggung Mak Yong terdiri dari lantai dan bumbung tanpa dinding. Persembahan dibuat di tengah-tengah panggung, sementara pemuzik, pelakon dan lain-lain kru dramatari Makyong pula akan berada di tepi pentas.

Perubahan pementasan drama tari Mak Yong dari istana untuk golongan pemerintah kepada rakyat jelata pula secara jelas telah menunjukkan kepada kita bagaimana dramatari Mak Yong telah melalui frasa perubahan dan penyesuaian dari segi persembahan penceritaan , pakaian serta perhiasan yang digunapakai semasa persembahannya. Walau bagaimanapun, kertas kerja ini hanya akan membincangkan analisis perubahan dan penyesuaian pakaian dan perhiasan sahaja dalam persembahan drama tari Mak Yong.

Menurut Gulam Sarwar-Yousof, 1994: 161, Mak Yong dikatakan berasal daripada nama “Mak Hyang” yang bermaksud semangat ibu padi yang dipuja oleh segolongan masyarakat Melayu Tradisional pada zaman tersebut. Akan tetapi, ada juga yang mempercayai ia dicipta oleh makluk digelar Semar. Para sejarahwan tidak pasti samada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana. Sungguhpun begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.

Semasa di Patani, Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang biasa. Mak Yong pertama kali disebut dalam Hikayat Patani bertarikh sekitar kurun ke-18 sebagai pertunjukan di Nara Yala, istana Patani (Teeuw and Wyatt, 1970). Semasa kurun ke-19 ia tersebar dari Selatan Thailand ke Kelantan di Timur Semenanjung Malaysia dan seterusnya melalui Tanjung Kurau (kini SIngapura) ke kepulauan di Indonesia yang ketika itu merupakan sebahagian dari Kesultanan Melayu kerajaan Johor – Riau, Lingga.

Perbezaan antara Mak Yong sebagaimana yang terdapat di Kelantan, yang tidak menggunakan sebarang topeng, Mak Yong dari Batam dan Bintan menggunakan topeng seperti di Nara Yala, kawasan asal, bagi bilangan dayang seperti pelayan peribadi Raja (Raja, atau anak lelakinya) dan Puteri (Ratu atau anak perempuannya), penjenayah, jembalang dan semangat. Pada kurun sebelumnya, Mak Yong bukan sekadar pertunjukan harian, tetapi ia turut digunakan sebagai upacara bagi raja memerintah. Mak Yong juga telah digunakan bagi berubat orang yang sakit teruk.

Pada awal abad ke-20, tarian Mak Yong mula berkembang ke merata-rata kampung tanpa naungan istana. Punca utamanya adalah kerana kedatangan British ke Kelantan telah mengurangkan kedudukan ekonomi raja-raja ini. Faktor inilah yang mengakibatkan kemerosotan mutu persembahan dalam generasi kedua, iaitu zaman selepas Bah Air Merah pada tahun 1926 hinggalah tahun-tahun 1950-an. Unsur-unsur komersil pertunjukan Mak Yong telah memperalatkan nilai-nilai estetik klasik yang ada dalam Mak Yong. Persembahan Mak Yong yang diadakan dengan cara pemajakan akan bermula dari pukul 8.30 malam hingga pukul 11.00 malam sahaja. Kemudian, persembahan diberhentikan dan alat-alat muzik biola dan akordion menggantikan rebab dan serunai untuk memainkan lagu-lagu joget. Penonton-penonton akan naik pentas untuk menari joget dengan penari-penari Mak Yong.

Pergerakan Asas Tarian Mak Yong

Tarian makyung juga sama seperti tarian melayu yang lain iaitu menegaskan kepada pergerakan tangan. Posisi tangan ini apabila dicantumkan dengan pergerakan badan, kepala dan kaki membentuk tarian makyung seperti berikut:

1. Duduk atas tumit, tangan sembah guru (Rajah a)

2. Tangan susun sirih

3. Tangan gajah lambung belalai (Rajah b)

4. Tangan burung terbang (Rajah c)

5. Tangan ular sawa mengorak lingkaran (Rajah d)

6. Tangan seludang menolak mayang (Rajah e)

7. Tangan sulur memain angi (Rajah f)

8. Tangan liuk kiri longlai ke kanan (Rajah g)

9. Berdiri tapak tiga mengadap timur jaga

10. Tangan sirih layer

11. Kirat penghabisan (Rajah h)

12. Langkah turun dari kayangan

13. Langkah naik ke kayangan

14. Pak Yung berjalan

Watak – Watak Penting Dalam Sesebuah Cerita Mak Yong

1. Pak Yong – Menjadi raja atau pemerintah dan menjadi tulang belakang cerita makyung

2. Pak Yong Muda – Walak utama atau hero dalam cerita Mak Yong. Watak inilah yang mengalami berbagai-bagai peristiwa dari saat ia dilahirkan hingga dewasa semasa cerita berkisar di sekitar kehidupan Pak Yong Muda.

3. Mak Yong – Juga permaisuri dan dalam setengah cerita mengambil peranan yang penting sebagai watak utama.

4. Puteri Mak Yong – Sebagai heroin dalam cerita Mak Yong.

5. Peran – Terdapat beberapa orang peran atau pelawak dalam cerita Mak Yong. Peran tua biasanya memegang watak yang lebih penting daripada peran-peran lain dan bertindak sebagai orang suruhan raja. Lain-lain peran adalah watak kelakar.

6. Dayang-dayang – Terdiri daripada gadis-gadis manja yang juga bertindak sebagai penari atau pengiring Mak Yong atau Puteri Mak Yong.

Selain daripada watak-watak yang tersebut di atas, watak-watak jahat tidak ketinggalan, seperti raja jin dan sebagainya yang merupakan pihak lawan kepada watak-watak baik di atas.

Lagu Mengadap Rebab

Lagu terpenting dalam Mak Yong, dimainkan semasa permulaan persembahan. Lagu ini merupakan simbol penghormatan kepada rebab dan semangat Mak Yong. Lagu “Mengadap Rebab” diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Setiap satu cerita mampu dipersembahkan merentasi beberapa amalan dalam siri pertunjukkan tiga jam. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa.

Bong wei… membalik tipo gak
Dage membue silolah cik wei
Dage membue silolah cik wei
Ayuhlah cik wei
Seperti suloh memain angin la…
Eh… bemban gugor di tapok
Selude cik wei… meningga maye la…
Ayuh tue wei
Seperti aur menarik suse Ia
Eh.. sawo kami menggorok likaghe
Aur cik wei menarik suse la…
Ayuh tue wei
Liuk litok tekula blalai la…

Eh… liuk ko kiri
Luk ko kane
Liuk ko kiri kulai ko kane la
Ayuh tue wei
Seperti denok menanti la…
Eh… berdiri kami tapok tigo
Kami nok adap ke timor
Jagolah…
Ayuh tue wei
Kami nok pecah lakoh lima la…

Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak.

Kredit: mamayong_kit_ed_canlink

Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun.

Busana Penari Mak Yong

Setiap jenis tarian tradisional yang wujud di Malaysia mempunyai busana yang tersendiri, termasuklah Tarian Mak Yong. Pakaian Mak Yong dan Pak Yong adalah sama dalam Drama tari Melayu Mak Yong yang dijadikan hiburan di istana sejak 400 tahun dahulu. Pada zaman dahulu, pakaian mereka terdiri daripada baju sempit dan seluar dibuat daripada kain satin, yang dipadankan dengan kain samping labuh dan dikemaskan dengan tali pinggan. Mereka akan menghiaskan bahagian dada mereka dengan sibar layan atau dengan manik-manik halus berwarna-warni seperti kolar baju layang.

Kredit: makyongppg.blogspot

Perhiasan kepala mereka dibuat daripada baldu yang berbentuk mahkota dan berhiaskan batu-batu permata. Mereka juga memakai sunting malai di telinga. Mereka memakai tanjak atau mahkota yang diperbuat daripada kain baldu khas dan dihias dengan manikam. Bahagian atas tanjak dihias dengan beberapa kuntum bunga Melur. Pak Yong biasanya membawa seikat rotan yang dipanggil ‘rotan beta’ untuk memukul Peran. Peran pula memakai kain sarung dan sepasang seluar besar. Kain semutar yang dibuat daripada kain kapa akan diikat di pinggang Peran. Peran juga menggunakan replika parang yang dibuat daripada kayu dan menyelitkannya di pinggang.

Kredit: Makyongppg.blogspot

Pakaian puteri juga hampir sama dengan Mak Yong. Mereka memakai kebaya sutera dan kerongsang yang dibuat daripada emas dan permata serta kain sibar. Mereka juga memakai pending, tetapi pending Mak Yong lebih cantik daripada pending puteri kerana dihiasi dengan sebutir permata. Semua pelakon dalam persembahan Mak Yong tidak memakai kasut. Pelakon-pelakon lain seperti dayang memakai kebaya dan sarung sutera tetapi tidak berpending atau berkain sibar. Semua rambut pelakon mereka disanggul dan dihias bunga melur kecuali Peran. Pada masa kini, pakaian persembahan Mak Yong telah dimodenkan. Mereka memakai baju kemban broked keemasan dan kain ketat yang diperindah dengan siba laying. Mereka juga menggunakan dendek untuk menghiasi dahi.

Kredit: KKMM
Kredit: makyongppg.blogspot

Nilai Komersial Tarian Mak Yong

Menurut Jasman Ahmad Dan Siti Zaiton (1996), Mak Yong dikomersialkan dan diperkenalkan di peringkat kebangsaan terutamanya oleh kumpulan-kumpulan seperti Seri temenggung, Kumpulan Tiang Emas, hiburan Dagang dan kumpulan-kurnpulan baharu bawah naungan Yayasan seni ya ng diketuai oleh tokoh Mak Yong yang terkenal iaitu Khatijah Awang

Dalam bahagian awal abad ke-20 Mak Yong diiktiraf sebagai hiburan istana oleh Tengku Temenggung Ghaffar, seorang putera raja Kelantan dan diletakkan di bawah perhatian dan pimpinannya secara peribadi. Beliau memperuntukkan beberapa kawasan dalam istana lama di Kota Bharu sebagai suatu ‘daerah teater’ dan menamakannya mengikut nama beliau, yakni Kampung Temenggong. Beberapa buah teater telah dibina di kawasan ini, memberikan berbagai-bagai bentuk corak hiburan tradisional dan di antaranya termasuklah Mak Yong, Menora, Wayang Kulit dan Bangsawan. Menurut Siti Zainon Ismail (1985), oleh kerana perhatian Tengku Temenggung Ghaffar, seni Melayu telah diangkat sebagai kegiatan harian sejajar dengan pendidikan agama bersistem pondok yang juga terkenal di Kelantan pada waktu tersebut.

Persembahan Mak Yong bermula di istana raja dan hanya dipersembahkan untuk tontonan sultan dan kerabat diraja sahaja pada satu ketika dahulu. Pelakonnya terdiri daripada gadis-gadis muda dan jelita yang mengambil semua peranan lelaki dan perempuan kecuali watak-watak komedi atau ‘peran’. Lahirnya keadaan begini kerana makyung merupakan hiburan bagi permaisuri-permaisuri dan puteri puteri raja dan pada satu ketika dahulu, dan ianya hanya dipersembah di dalam istana. Oleh kerana bimbang sekiranya permaisuri dan puteri – puteri raja ini jatuh hati kepada pelakon-pelakon Mak Yong (sekiranya pelakon makyong terdiri dari lelaki) semasa raja atau pembesar-pembesar meninggalkan istana untuk menjaga keselamatan negeri dan Iain-Iain tugas di luar istana, maka pelakonnya disyaratkan hanya terdiri daripada perempuan belaka.

Kumpulan Seri Temenggong pada permulaannya adalah satu kumpulan kesenian yang tidak berorientasikan keuntungan dan hanya mempersembahkan pertunjukan secara percuma. Namun pada akhir tujuh puluhan dan awal lapan puluhan, setelah menyaksikan perubahan dalam dunia seni tanahair, sedikit demi sedikit oreintasi Kumpulan tersebut telah bertukar wajah dari sebuah kumpulan seni yang tidak berpaksikan keuntangan kepada sebuah perniagaan seni.

Produk yang diketengahkan oleh Kumpulan Seri Temenggong (ST) adalah persembahan seni tradisi yang terdiri daripada persembahan Makyong, tarian, taridra dan muzik tradisional. Dengan hanya pertolongan daripada kaum keluarga yang berada disekitarnya yang terdiri daripada suami, anak, cucu dan saudara mara, beliau telah dapat mendaftarkan perniagaan seninya pada tahun 1996 dan telah Berjaya mendapat sponsor dan keuntungan yang agak besar pada akhir tahun Sembilan puluhan.

Penubuhan Seri Temenggong pada awalnya adalah sebagai sebuah kumpulan kesenian yang dianggotai oleh anak beranak serta sahabat handai telah bertukar menjadi lebih komersial pada akhir tahun lapan puluhan. Justeru, jika diperhatikan, adalah munasabah kalau dikaitkan kaedah pengurusan Seri Temenggong dengan kaedah pengurusan sebuah perniagaan yang dikendalikan oleh keluarga yang dilaksanakan secara lebih kolektif tetapi berpaksikan emosi dan rasa kecintaan kepada kumpulan itu.

Kejatuhan Tarian Mak Yong

Pada akhir-akhir 1960-an, sudah tidak banyak lagi kumpulan Mak Yong yang wujud, dan tidak banyak lagi orang yang berminat mempelajari seni tari ini. Kemasukan pengaruh-pengaruh kebudayaan Barat yang meluas menggelapkan lagi permainan Mak Yong. Kalau ada pun persembahan Mak Yong pada masa perayaan seperti Hari Keputeraan Sultan, persembahan itu hanya dikerumuni oleh orang-orang tua.

Mak Yong Khurafat?

Menurut Rahimidiin Zahari dan Sutung Umar RS di dalam buku mereka Mak Yong Warisan Mistik Malaysia, ada menyebut iaitu ritual Mak Yong dan Ulek Mayang merupakan tarian berunsurkan mistik yang memiliki hubung kait dengan alam ghaib. Peserta akan berlakon menjadi watak puteri dan watak raja lalu berpentasan dengan cerita-cerita yang dikarang oleh mereka. Di dalam permainan Mak Yong mempunyai unsur semangat sehingga berpotensi mendatangkan insiden separa sedar,tidak sedarkan diri,malahan kerasukan. Hiburan ini jelas mempunyai pengaruh pemujaan terhadap makhluk ghaib samada secara sengaja ataupun tidak sengaja.

Selain itu, Mak Yong dikatakan khurafat kerana mempunyai unsur-unsur ritual. Menurut Faizal Saharun (2009), Mak Yong mengamalkan elemen spiritual bagi menyembuhkan pelbagai penyakit yang berkaitan emosi manusia yang tidak stabil. Sunguhpun begitu, Mak Yong tidak membuatkan si pengamalannya menjadi khurafat atau terpesong daripada akidah Islam. Akan tetapi, ia sebaliknya bergantung kepada individu yang menjiwai Mak Yong ini sendiri.

Terdapat beberapa lagi mitos yang dikaitkan dengan sejarah Mak Yong ini hatta dari istilah Mak Yong itu sendiri yang dikatakan berasal daripada nama Mak Hiang dan dipercayai mempunyai persamaan dengan Dewi Seri iaitu Dewi Hindu Jawa. Mak Hiang ini dipuja dalam bentuk tarian dan drama. Oleh itu banyak pendapat mengatakan bahawa ia dipercayai berasal dari kepercayaan animism dan kepercayaan perbomohan. Dalam konteks persembahan, Mak Yong ini dapat dilihat bomoh bertindak sebagai orang tengah dalam melakukan ritual ini.

Pernah diharamkan hampir 30 tahun di negeri Kelantan

Kerajaan negeri Kelantan telah mengharamkan Mak Yong dan beberapa lagi kesenian lain seperti Wayang Kulit, Menora dan Main Puteri pada tahun 1991. Alasan kesenian ini diharamkan adalah ia telah didakwa mengandungi perkara yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah seperti pemujaan. Pemerintahan Angkatan Perpaduan Ummah yang dipimpin oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz merupakan satu titik tolak dalam proses mengIslamisasikan Kelantan.

Dalam melaksanankan pemerintahan bercorakkan Islam, keadilan yang berpandukan kepada hukum Allah adalah perlu bagi menjamin pembentukan sebuah pemerintahan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Perlaksanaan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah ini adalah demi memastikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang subur amalan Islam dan meningkatkan iman dan takwa dalam kalangan rakyatnya serta mewujudkan pentadbiran yang mesra syariah. Konsep ini dikenali sebagai “Membangun Bersama Islam”.

Kerajaan negeri Kelantan begitu mengambil berat berkaitan isu akidah ini dan berusaha untuk membanteras unsur-unsur yang menyeleweng pemikiran dan kepercayaan umat islam dari terus terjerumus ke kancah syirik dan khurafat. Khurafat dalam Kamus Al-Marbawi disebut sebagai cerita karut atau karut-marut. Maka, sebarang bentuk hiburan atau permainan tradisi hendaklah dimurnikan agar tidak melanggari batas-batas iman dan kufur.

Peraturan hiburan yang berpandukan dasar Membangun Bersama Islam dan mesra syariah telah digubal. Ia dikenali sebagai Enakmen Kawalan Hiburan yang telah meletakkan syarat tidak boleh mempersembahkan apa-apa jenis bentuk hiburan yang mengandungi unsur tahyul, pemujaan roh, lucah dan pergaulan bebas. Kesan daripada peraturan ini beberapa upacara tradisi telah diharamkan kerana dikaitkan menggunakan makhluk halus dan kuasa selain daripada Allah seperti wayang kulit, Menora, Main Puteri dan Makyong itu sendiri.

Kredit: Orangkata.my

Perkembangan terkini

Seni persembahan Mak Yong buat julung kali dipersembahkan kembali kepada umum selepas ia diharamkan sejak tahun 1991.  Hampir 30 tahun Mak Yong diharam untuk dipentaskan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana ia didakwa mempunyai unsur khurafat dan pemujaan. Namun, selepas melalui proses pengubahsuaian kandungan dialog dan mendapat kelulusan dari kerajaan negeri dan Jabatan Mufti Kelantan Mei lalu, akhirnya Mak Yong membuat kemunculan semula.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Mohamed Raizuli Mat Jusoh, persembahan Mak Yong merupakan khazanah warisan yang diktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) sebagai seni warisan dunia. “Malam ini (Sabtu) kita dapat saksikan teater dipentaskan secara rasmi setelah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri dengan surat bertarikh 24 Mei 2019 oleh Mufti Kelantan yang membenarkan Mak Yong patuh syariah dimainkan. “Buat julung kali kita pentaskan kepada umum di Dewan Auditorium JKKN,” katanya. Kata beliau lagi , elemen tradisional persembahan melibatkan watak dan alatan muzik pakaian masih dikekalkan.

Namun, jelasnya perubahan yang dibuat adalah tidak melibatkan wanita dan pengubahsuaian dialog dengan ciri-ciri patuh syariah seperti yang dikehendaki oleh kerajaan Kelantan. Mohamed Raizuli menambah pihaknya akan menjadikan Mak Yong melalui proses pengubahsuaian ini sebagai satu lagi tarikan baru kesenian di Kelantan, selain dikir barat, wayang kulit dan sebagainya.

Pementasan Mak Yong berkisar kisah Raja Besar Ho Gading malam tadi – Astro AWANI

Kumpulan generasi ketiga tarian Mak Yong telah dipelopori oleh Kumpulan Seri Temenggung, sebuah kumpulan belia. Guru-guru Mak Yong yang terdiri daripada orang-orang lama daripada generasi pertama telah diambil untuk melatih mereka dengan tarian-tarian dan nyanyian-nyanyian Mak Yong yang asli seperti yang terdapat pada generasi pertama dulu. Dengan latihan itu, unsur-unsur yang asli mula dihidupkan kembali.

Rujukan

(1) Mak Yong muncul semula di Kelantan selepas 28 tahun, 2019, https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mak-yong-muncul-semula-di-kelantan-selepas-28-tahun-218147

(2) Bab 2: Mak Yong Secara Umum, http://studentsrepo.um.edu.my/2463/5/BAB_2.pdf

(3) MakYung, https://www.kkmm.gov.my/pdf/buku/makyung.pdf

(4) Ma’Ma Yong, file:///C:/Users/User/Downloads/ma-ma-yong-about-nothing-much-to-do-kit-ml.pdf

(5) PERSEPSI PENONTON TERHADAP PEMENTASAN TEATER TRADISIONAL MAK YONG, 2015, https://ir.unimas.my/id/eprint/19924/1/Persepsi%20penonton%20terhadap%20(24%20pages).pdf

(6) MAK YONG …. SEJARAH DAN MISTIKNYA MAK YONG, 2011, https://iezwanmalique.wordpress.com/2011/06/21/mak-yong-sejarah-dan-mistiknya-mak-yong/

(7) Kerajaan Kelantan digesa tarik balik larangan persembahan Mak Yong, 2017, https://www.astroawani.com/gaya-hidup/kerajaan-kelantan-digesa-tarik-balik-larangan-persembahan-mak-yong-155892

(8) Sejarah STPM, https://sejarahstpm72.wordpress.com/

(9) Tarian Makyong, 2017, https://www.upm.edu.my/berita/tarian_makyong-31083

(10) Khatijah Awang dan Seri Temenggong: Satu Kajian Kes Terhadap Keusahawanan Seni, http://umkeprints.umk.edu.my/186/1/Paper%201.pdf

(11)Perkembangan Dramatari dan Kostum Makyong Kelantan, 2016, https://timbej.uitm.edu.my/v1/images/timbej/article/2016/paper3i2.pdf

(12) MZU3117 Muzik Malaysia Mak Yong, 2013, http://makyongppg.blogspot.com/2013/08/costume.html

Hanis Lyana